
IPOH, 12 Jun – Polis menahan seorang individu yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh dan rogol di Jalan Trans Perak, Kampung Gajah, Rabu lepas.
- Sebilah pisau dirampas selepas suspek menunjukkan lokasi pembuangan di Kangar.
- Kes diselesaikan dalam tempoh 24 jam; suspek direman tujuh hari, disiasat bawah Seksyen 302 dan 376.
- Kejadian dipercayai berpunca daripada konflik hubungan; suspek didakwa mengugut dan merogol wanita sebelum menikam mangsa.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin mengesahkan penahanan suspek berusia 30 tahun itu di Terminal Bas Kangar, Perlis, semalam.
“Sebilah pisau, turut dirampas dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,selepas suspek menunjukkan lokasi senjata itu dibuang di Kangar.
“Kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 kanun sama,”katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Mes Pegawai Kanan Polis Sultan Azlan Shah di sini.
Pada 10 Jun lepas, seorang lelaki berusia 29 tahun maut selepas ditikam di Kilometer 12, Jalan Trans Perak.
Siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada konflik hubungan melibatkan suspek, bekas teman wanitanya dan mangsa yang merupakan teman lelaki wanita berkenaan.
Sehari sebelum kejadian, suspek dipercayai mengugut serta merogol wanita terbabit dalam kereta sebelum berlaku pertengkaran dengan mangsa, keesokan hari.
Mangsa kemudian dikejar dan ditikam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah klinik swasta di Kampung Gajah.