Ekonomi Britain menguncup akibat perang di Asia Barat

Foto AFP

LONDON, 12 Jun -Ekonomi Britain menguncup sebanyak 0.1 peratus pada April berbanding pertumbuhan 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik di Asia Barat melonjakkan harga tenaga dan menimbulkan semula tekanan inflasi, merencatkan pertumbuhan ekonomi Britain.
  • Krisis politik dalaman memburuk apabila beberapa menteri meletak jawatan, melemahkan kredibiliti pentadbiran Starmer menjelang pilihan raya kecil.
  • Pakar menjangka ekonomi Britain terus melemah sepanjang tahun selagi tiada perjanjian damai kekal di Asia Barat.

Penguncupan itu merupakan kesan daripada ketegangan perang di Asia Barat yang menjejaskan pertumbuhan global serta melonjakkan semula tekanan inflasi.

Menurut data rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Perangkaan Negara (ONS) hari ini, prestasi hambar itu didorong oleh lonjakan harga tenaga ekoran konflik yang bermula sejak akhir Februari lalu.

Ia sekali gus merencatkan momentum pemulihan ekonomi kukuh yang dicatatkan Britain pada suku pertama tahun ini.

Menteri Kewangan, Rachel Reeves menyifatkan situasi berkenaan sebagai kesan luar jangkaan domestik daripada konflik geopolitik tersebut di kala kerajaan pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer sedang bergelut untuk mengimbangi kestabilan fiskal negara.

“Sebelum meletusnya konflik di Timur Tengah, pertumbuhan ekonomi kita adalah lebih tinggi daripada jangkaan dan kadar inflasi pula sedang mencatatkan penurunan.

“Ini bukanlah sebuah peperangan yang kita mahukan atau sertai, namun ia tetap memberi impak langsung kepada ekonomi domestik kita,” kata Reeves dalam satu kenyataan bagi mengulas data terbaharu itu.

Kelembapan ekonomi itu dilaporkan memberi tamparan terbaharu kepada Starmer, yang kini sedang berdepan krisis politik dalaman serta desakan daripada pelbagai pihak untuk meletakkan jawatan.

Krisis politik Britain semakin memuncak pada Khamis apabila Setiausaha Pertahanan John Healey bersama Menteri Angkatan Tentera bertindak meletakkan jawatan ekoran pertikaian mengenai perbelanjaan ketenteraan.

Tindakan tersebut dilihat bakal melemahkan kredibiliti pentadbiran Starmer menjelang pilihan raya kecil minggu depan.

Sementara itu, Pengurus Portfolio di Quilter, Stuart Clark berkata kesan konflik ketenteraan tersebut kini jelas diterjemahkan ke dalam data ekonomi Britain dan ia bukanlah satu petunjuk yang baik buat masa depan negara.

“Kami menjangkakan ekonomi Britain akan terus melemah sepanjang tahun ini, terutamanya selagi tiada perjanjian damai yang kekal dicapai di Asia Barat,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.