Waris nahas pesawat Air India tuntut jawapan sebenar punca nahas

Foto REUTERS

AHMEDABAD, 12 Jun -Waris mangsa nahas pesawat Air India berkumpul di lokasi kejadian di sini hari ini bagi memperingati ulang tahun pertama tragedi yang mengorbankan 260 nyawa ketika desakan semakin memuncak menuntut jawapan punca sebenar insiden penerbangan maut dalam tempoh sedekad itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ahli keluarga kecewa laporan akhir belum dimuktamadkan, menuntut kejelasan punca untuk memberi kelegaan terhadap trauma mereka.
  • Laporan awal 15 muka surat dedah bekalan bahan api terputus beberapa saat sebelum nahas; isu suis bahan api dan niat juruterbang masih dipertikaikan.
  • Serpihan dan barangan peribadi masih tertanam di tapak runtuhan; waris adakan upacara peringatan sambil terus menuntut jawapan.

Perhimpunan itu diadakan tatkala Lembaga Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB) India dijangka hanya akan mengeluarkan laporan sementara dalam masa terdekat.

keputusan berkenaan mencetuskan kekecewaan dalam kalangan ahli keluarga yang mengharapkan laporan akhir dimuktamadkan hari ini bagi memberikan kelegaan terhadap trauma yang dialami mereka selama ini.

Bagi seorang pemandu, Suresh Patni, kehadiran beliau di tapak runtuhan yang masih dipenuhi kesan terbakar itu adalah bagi memperingati anak lelakinya, Akash, yang maut apabila kedai teh milik keluarga mereka dihempap sisa pesawat yang meletup.

“Kami ke sini hari ini hanya untuk mengingati beliau pada ulang tahun pertama kematiannya. Beliau merupakan seorang pelajar yang baik dan berpotensi untuk berjaya dalam hidup,” katanya kepada AFP sambil menghias sekeping foto dan potret bersaiz sebenar anaknya itu dengan kelopak bunga mawar dan lilin.

Seorang lagi waris mangsa dari London, Nilesh Joshi, yang kehilangan isterinya, Kaminiben Nilesh Joshi dalam nahas itu mempersoalkan tempoh masa yang lama diambil oleh pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

“Mengapa pihak berkuasa mengambil masa yang begitu lama untuk menilai nahas ini? Pelepasan laporan akhir ini amat penting untuk kami yang kehilangan orang tersayang bagi meneruskan kehidupan,” kata Joshi yang hadir bagi menyertai persidangan khas anjuran peguam serta pakar keselamatan penerbangan di sini.

Berdasarkan undang-undang antarabangsa, AAIB sebelum ini telah menerbitkan laporan awal setebal 15 halaman sebulan selepas kejadian, yang mendedahkan bahawa bekalan bahan api ke enjin jet berkenaan telah terputus beberapa saat sebelum nahas.

Insiden berkenaan mencetuskan persoalan sama ada ia berpunca daripada kesilapan juruterbang atau gangguan teknikal.

Laporan awal itu bagaimanapun menerima kritikan hebat kerana gagal menjelaskan punca sebenar mengapa suis bahan api berkenaan dimatikan.

Selain itu, pendedahan transkrip perbualan ringkas antara kapten dan pembantu juruterbang turut mencetuskan spekulasi berhubung tindakan membunuh diri.

Sehingga kini, serpihan beg, pakaian, dan barangan peribadi mangsa dilaporkan masih dilihat tertanam di kawasan tanah yang rentung di lokasi kejadian.

Manakala waris mangsa dijadualkan mengadakan upacara memperingati mangsa malam ini.

Dalam kejadian pada 12 Jun tahun lepas, pesawat jenis Boeing 787 terhempas ke di sebuah kolej perubatan sejurus berlepas dari bandar barat Ahmedabad.

Kejadian itu mengorbankan kesemua 241 penumpang dan anak kapal serta 19 orang awam. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.