Program Ziarah Seni MADANI bantu 216 artis

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 12 Jun Lebih RM164,000 telah disalurkan kepada 216 penggiat seni menerusi Program Ziarah Seni MADANI yang diperkenalkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sejak tahun 2023.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setakat 10 Jun, 36 individu telah menerima bantuan, dengan sasaran 100 penerima menjelang akhir tahun.
  • Program menyediakan bakul makanan dan bantuan kewangan serta menyelaras rujukan kepada agensi lain untuk sokongan lanjut.
  • FINAS bekerjasama dengan PERKESO dan agensi kerajaan untuk memastikan bantuan sampai kepada penerima yang benar-benar layak, bantuan biasanya sekali beri.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata bagi tahun ini sehingga 10 Jun, seramai 36 individu telah menerima bantuan dengan sasaran keseluruhan 100 penerima menjelang akhir tahun ini.

“Kami menyediakan bantuan bakul makanan serta bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan. Bagi pemohon yang memerlukan sokongan daripada agensi lain, kami turut memainkan peranan sebagai penyelaras dengan menghubungkan mereka kepada agensi berkaitan.

“Selain itu, terdapat juga kes yang memerlukan bantuan untuk menjelaskan bil perubatan dan keperluan kesihatan.

“Jenis bantuan yang diberikan adalah berdasarkan situasi dan keperluan setiap pemohon serta penerima.

“Pada masa sama, kami turut bekerjasama dengan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan agensi kerajaan lain bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada individu yang benar-benar layak menerimanya,” katanya.

Katanya pada Program Ziarah Seni MADANI 2026 Santuni Figura Seni, Mohammad Salih Yaacob, di sini, hari ini.

Tambah beliau, bantuan yang disalurkan kebiasannya diberikan secara sekali beri (‘one-off’).

Namun, pertimbangan lanjut akan dibuat berdasarkan situasi dan keperluan semasa setiap penerima.

Sementara itu, Mohammad Salih, yang lebih dikenali sebagai Salih Yaacob, merupakan antara penerima bantuan menerusi inisiatif berkenaan.

Mohammad Salih, yang pernah bergiat aktif sebagai pelakon, pelawak, penyanyi dan pengacara, kini berdepan masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi serta penglihatan yang semakin lemah.

Beliau menerima sumbangan barangan keperluan harian dan bantuan wang tunai sebagai tanda penghargaan terhadap jasa beliau dalam industri seni tanah air, selain sebagai sokongan moral bagi meringankan beban yang dihadapi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.