
PERAK TENGAH, 10 Jun – Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan di Kilometer 12, Jalan Trans Perak, di Perak Tengah awal pagi tadi.
- Maklumat kejadian diterima IPD Perak Tengah pada pukul 5.49 pagi.
- Suspek melarikan diri menggunakan Proton Wira hitam nombor pendaftaran WGX 3707.
- Polis giat mengesan suspek, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302; hubungi ASP S.Murugan 012-6992784 atau Insp Muhammad Aminuddin 019-6751267.
Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah, maklumat mengenai kejadian diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada pukul 5.49 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun yang telah mengalami kecederaan akibat ditikam semasa berlaku pergaduhan dengan suspek.
“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan lanjut mendapati suspek telah melarikan diri selepas kejadian menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam bernombor pendaftaran WGX 3707.
Susulan itu, pihak polis sedang giat mengesan suspek yang alamat terakhir adalah di Kampung Guntur Tengkek, 72200 Batu Kikir, Negeri Sembilan dan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP S.Murugan di talian 012-6992784 atau Inspektor Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019-6751267 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.