
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, atas pencapaian bersejarah beliau sebagai ketua kerajaan yang dipilih secara demokratik paling lama berkhidmat di negara itu.
- Pencapaian itu mencerminkan dedikasi Modi bertahun-tahun dalam perkhidmatan awam.
- Kepimpinan beliau telah memacu pembangunan, kemakmuran dan pengaruh India di pentas global.
- Malaysia menghargai hubungan persahabatan erat dan menantikan kerjasama berterusan memperkukuh hubungan dua hala.
- Datuk Seri Anwar mendoakan Modi terus mencapai kejayaan dan rakyat India menikmati keamanan, kemajuan serta kemakmuran.
Datuk Seri Anwar menerusi hantaran Facebook hari ini memaklumkan, pencapaian itu mencerminkan dedikasi Modi selama bertahun-tahun dalam perkhidmatan awam serta kepimpinan beliau dalam memacu pembangunan, kemakmuran dan pengaruh India di pentas global.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Modi atas pencapaian bersejarah menjadi Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik paling lama berkhidmat di India,” menurut hantaran itu.
Modi mula memegang jawatan Perdana Menteri India pada Mei 2014.
Pada masa sama Perdana Menteri turut menyatakan bahawa Malaysia menghargai hubungan persahabatan erat telah sekian lama terjalin dengan India, serta menantikan kerjasama berterusan bagi memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas peluang yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Saya mendoakan Perdana Menteri Modi terus mencapai kejayaan dan rakyat India terus menikmati keamanan, kemajuan serta kemakmuran,” tambah hantaran itu.