Piala Dunia 2026: penonton hargai siaran percuma RTM

RTM akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan Piala Dunia 2026. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Bahang Piala Dunia FIFA 2026 semakin dirasai apabila rata-rata peminat bola sepak tempatan melahirkan keterujaan apabila ia bakal disiarkan secara percuma menerusi platform RTM.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peminat menghargai inisiatif RTM menyiarkan Piala Dunia kepada rakyat, memudahkan akses tontonan.
  • Kemudahan penstriman RTM Klik memudahkan tontonan di mana sahaja walaupun perbezaan masa sehingga 12 jam.
  • Siaran bersama keluarga dan rakan meningkatkan kemeriahan menonton di rumah atau kedai makan.
  • Penonton mengharapkan siaran lancar tanpa gangguan teknikal, ramai juga gembira dengan jimat kos hak siaran.

Tinjauan RTM mendapati penyiaran kesemua 104 perlawanan secara percuma disambut baik orang ramai, khususnya peminat tegar bola sepak yang menantikan temasya berprestij itu setiap empat tahun sekali.

Mohamad Yazid Ikhwan Bahari menyifatkan langkah RTM menyediakan siaran langsung Piala Dunia FIFA sebagai sesuatu yang amat dihargai rakyat Malaysia.

Katanya, kemudahan penstriman menerusi RTM Klik turut memudahkan peminat mengikuti aksi walau di mana mereka berada meskipun kejohanan berlangsung di Amerika Utara dan Amerika Selatan yang mempunyai perbezaan waktu dengan Malaysia.

“Amat-amat terharulah dan amat-amat berterima kasih kepada pihak RTM kerana menyediakan siaran langsung Piala Dunia FIFA kepada rakyat Malaysia.

“RTM Klik pula memudahkan kita menonton di mana sahaja walaupun ada perbezaan masa sehingga 12 jam,” katanya.

Bagi Wan Huzaimi Wan Abdullah pula, penyiaran percuma itu memberi peluang kepada seluruh rakyat menikmati aksi Piala Dunia menerusi penyiar utama negara.

“Saya rasa amat teruja memandangkan kerajaan memberikan penyiaran percuma kepada rakyat untuk menonton Piala Dunia di stesen TV RTM,” katanya.

Sementara itu, Ainul Muzakki Saifuddin berkata peluang menyaksikan kesemua 104 perlawanan secara percuma membolehkan orang ramai menikmati kemeriahan Piala Dunia bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tambahnya, suasana menonton bersama di rumah atau kedai makan pastinya menambahkan lagi kemeriahan kejohanan berkenaan.

“Memang lama tunggu Piala Dunia ini, jadi bila RTM bagi peluang macam ini memang boleh luang masa bersama keluarga dan kawan-kawan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap siaran yang disediakan berjalan lancar tanpa gangguan teknikal agar pengalaman tontonan lebih memuaskan.

Azmi Ibrahim pula berpendapat, penyiaran percuma itu sebagai satu kelebihan besar kepada rakyat Malaysia memandangkan kos hak siaran Piala Dunia yang tinggi.

“Apabila kerajaan dan RTM dapat menyiarkannya secara percuma, saya amat gembira,” katanya.

Bagi Mohammad Ridzuan Rohim, penyiaran percuma itu sememangnya menggembirakan peminat bola sepak tempatan.

“Kalau dapat tonton secara percuma, semua rakyat Malaysia yang minat bola mesti seronok,” katanya.

Piala Dunia FIFA 2026 dijadual membuka tirai pada 12 Jun ini melibatkan penganjuran bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.