Simpan diesel haram, warga emas ditahan

Foto/JKDM

LABUAN, 9 Jun – Seorang warga tempatan berusia 64 tahun ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan 285 liter minyak diesel tanpa permit sah dalam satu serbuan bersepadu di sebuah stor di Patau-Patau, di sini petang semalam (Isnin).

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN Labuan dan JKDM Labuan menjalankan serbuan bersepadu di bawah Op Tiris 4.0.
  • Barang kawalan berjadual disimpan dalam premis tanpa permit sah dikeluarkan Pengawal Bekalan Malaysia.
  • Kesemua minyak diesel disita; nilai rampasan dianggarkan RM612.75.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; KPDN akan perkukuh kerjasama strategik dengan JKDM.

Serbuan kira-kira pukul 4.40 petang itu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan di bawah operasi Op Tiris 4.0 (Bersepadu).

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, tindakan ke atas stor yang dipercayai milik lelaki berkenaan diambil hasil daripada risikan dan pemantauan berterusan oleh pihak penguat kuasa.

“Siasatan awal mendapati barangan kawalan berjadual tersebut disimpan di dalam premis berkenaan tanpa sebarang permit sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua minyak diesel itu telah disita dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM612.75.

Menurut Junaidah, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah.

Sementara itu, beliau menegaskan KPDN Labuan akan memperkukuhkan kerjasama strategik bersama JKDM Labuan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan serta mengekang ketirisan subsidi kerajaan di pulau berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.