
VIENNA, 7 Jun – Menteri-menteri negara anggota OPEC+ pada Ahad bersetuju meningkatkan kuota pengeluaran minyak sebanyak 188,000 tong sehari bagi Julai dalam usaha menyokong kestabilan pasaran tenaga global.
- OPEC+ setuju menaikkan kuota pengeluaran untuk menyokong kestabilan pasaran tenaga global.
- Langkah itu bertujuan mengekalkan kestabilan pasaran dan memberi ruang kepada anggota menyesuaikan pengeluaran.
- Penganalisis berkata kesan terhadap harga dijangka terhad selagi Selat Hormuz masih ditutup dan bekalan fizikal terhad.
- Pembukaan semula Selat Hormuz, bekalan tambahan OPEC+, minyak syal AS dan permintaan lemah boleh mencetuskan lebihan bekalan.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat secara dalam talian yang melibatkan beberapa pengeluar utama OPEC+ termasuk Arab Saudi, Rusia, Iraq, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman.
Menurut OPEC+, jumlah peningkatan tersebut adalah sama seperti yang dipersetujui dalam beberapa bulan terdahulu.
Dalam kenyataannya, kumpulan itu berkata langkah berkenaan bertujuan mengekalkan kestabilan pasaran minyak serta memberi ruang kepada negara anggota menyesuaikan pengeluaran mengikut keadaan semasa.
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat peningkatan pengeluaran itu dijangka tidak memberi kesan besar terhadap harga minyak global yang terus dipengaruhi perkembangan konflik di Asia Barat.
Penganalisis Rystad Energy, Jorge Leon berkata pertambahan pengeluaran tersebut mempunyai kesan yang terhad selagi Selat Hormuz masih ditutup.
“Pasaran tidak kekurangan pengumuman mengenai kuota pengeluaran. Apa yang kurang ialah bekalan minyak fizikal yang benar-benar boleh dihantar ke pasaran.
“Selagi Selat Hormuz masih ditutup, pertambahan pengeluaran itu tidak banyak membantu meningkatkan bekalan minyak di pasaran,” katanya.
Menurut beliau, tumpuan pasaran ketika ini lebih terarah kepada perkembangan di Selat Hormuz yang merupakan antara laluan perkapalan tenaga paling penting di dunia.
Leon berkata OPEC+ turut dilihat mengambil kira kemungkinan perubahan keadaan sekiranya laluan strategik itu dibuka semula.
“Apabila Selat Hormuz dibuka semula, pasaran boleh berubah dengan pantas daripada kebimbangan terhadap kekurangan bekalan kepada kebimbangan terhadap lambakan bekalan,” katanya.
Beliau berkata peningkatan semula bekalan OPEC+, pertambahan pengeluaran minyak syal Amerika Syarikat serta permintaan yang lebih lemah selepas tempoh harga tinggi berpotensi mewujudkan lebihan bekalan dalam pasaran global. – AFP