Bekas Timbalan Speaker DUN Kedah ditemukan meninggal dunia

Foto PDRM

ALOR SETAR, 7 Jun – Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Mohd Jamil Md Idross, 78 tahun, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Teluk Bagan di Jalan Tandop, Alor Setar pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga terakhir melihat beliau sekitar 11.30 malam; kehilangan dikesan sekitar 5.00 pagi dan sepasang selipar ditemui berhampiran sungai.
  • Siasatan awal menunjukkan beliau ada penyakit kronik termasuk diabetes, tekanan darah tinggi dan sejarah rawatan jangkitan paru-paru.
  • Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, mayat Allahyarham ditemukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada pukul 8.10 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi beliau dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Terdahulu, ahli keluarga memaklumkan kali terakhir melihat Allahyarham sekitar pukul 11.30 malam semalam.Kehilangannya disedari kira-kira pukul 5.00 pagi sebelum sepasang selipar miliknya ditemui berhampiran sungai,dan menyebabkan keluarga bimbang beliau mungkin terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Susulan laporan yang diterima polis pada pukul 7.18 pagi, operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan dengan kerjasama pelbagai agensi sebelum mangsa berjaya ditemukan.

Siasatan awal mendapati Allahyarham mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk diabetes dan tekanan darah tinggi serta pernah menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru. Keluarga turut mengesahkan beliau tidak mempunyai sejarah kemurungan atau masalah psikiatri.

Polis juga mendapati rutin harian Allahyarham adalah mengalihkan kenderaan miliknya ke kawasan luar rumah yang terletak berhampiran sungai. Sebuah kereta berwarna putih dipercayai telah dialihkan sebelum kejadian dan ditemukan berhampiran lokasi mangsa ditemukan.

Mayat Allahyarham dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor bagi penggal 1995 hingga 1999 serta 2004 hingga 2008. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-14 dan memegang jawatan tersebut dari tahun 2018 hingga 2023.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.