196 penagih dadah ditahan dalam Operasi Perdana AADK Terengganu

196 penagih dadah termasuk tiga wanita dan dua penjawat awam ditahan

DUNGUN, 5 Jun – Seramai 196 penagih dadah termasuk tiga wanita dan dua penjawat awam ditahan dalam Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu bermula Rabu lepas hingga hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dijalankan di empat daerah: Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.
  • Port Pekat Bayu catat 35 tangkapan, kawasan paling tinggi jumlah tangkapan di Dungun.
  • Ujian urin positif bagi 159 syabu, 34 ketum, dua ganja dan seorang heroin; penagih berusia antara 19 hingga 66 tahun.
  • Lima anggota AADK alami detik cemas bila seorang penagih mengacukan pisau, suspek menyerah selepas kira-kira 10 minit, tiada kecederaan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan, Mahadzir Elias berkata, operasi berkenaan dilaksanakan di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut dan Dungun yang memberi tumpuan di beberapa sarang penagihan bagi membenteras kegiatan penagihan dadah.

“Saya melihat dalam laporan terdapat satu lokasi yang dikenali sebagai Port Pekat Bayu, dengan 35 tangkapan direkodkan di kawasan itu sahaja. Jumlah tersebut agak tinggi kerana bagi satu lokasi, seramai 35 individu telah ditahan, sekali gus menjadikannya kawasan yang mencatatkan tangkapan paling ramai, khususnya di Dungun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas mengetuai Operasi Perdana AADK Terengganu yang turut dihadiri Pengarah AADK Terengganu, Arzmi Abdullah.

Kesemua penagih dadah yang ditahan dalam operasi itu berusia antara 19 tahun hingga 66 tahun dan ujian urin mendapati 159 individu positif dadah jenis syabu, ketum (34 orang), ganja (dua orang) dan heroin (seorang).

Dalam pada itu, lima anggota AADK turut berdepan detik cemas selepas seorang penagih dadah berusia 34 bertindak mengacukan sebilah pisau ketika operasi dilakukan di sebuah rumah.

Bagaimanapun lelaki berkenaan yang berada bawah pengaruh dadah berjaya ditahan selepas menyerah diri kira-kira 10 minit kemudian dan tiada kecederaan dilaporkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.