
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Sebanyak lapan syarikat telah mengemukakan permohonan rayuan tambahan kuota yang melibatkan 82 kenderaan bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat tiga hari pertama pelaksanaan penambahbaikan sistem tersebut.
- Permohonan rayuan tambahan kuota sedang diproses untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP).
- Mekanisme rayuan disediakan untuk syarikat yang perlukan operasi melebihi kuota tetap; sokongan justifikasi dan rekod penggunaan tiga bulan diperlukan.
- Penambahbaikan mulai 1 Jun meluaskan kelayakan SKDS dan SKPS kepada kenderaan jip serta pikap bagi pengangkutan darat barangan.
- Pelaksanaan ditambah baik bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan bersasar dan mengekang penyelewengan serta penyeludupan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan yang diterima kini sedang diproses untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP).
Mekanisme rayuan itu disediakan khusus bagi syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai keperluan operasi melebihi had kuota tetap antara 900 hingga 5,000 liter sebulan bagi 23 jenis kenderaan yang layak.
“Penetapan kuota telah dibuat berdasarkan analisis data penggunaan sebenar yang direkodkan sepanjang hampir dua tahun pelaksanaan SKDS sejak tahun 2024.
“Permohonan hendaklah disokong dengan justifikasi keperluan beserta rekod penggunaan sebenar sekurang-kurangnya tiga bulan untuk pertimbangan JKSP,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, penambahbaikan yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu turut menyaksikan peluasan kelayakan SKDS dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan.
Ia melibatkan kenderaan bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon seberat 950 kilogram hingga 7,500 kilogram.
“Selain berdaftar atas nama syarikat atau entiti perniagaan, syarat kelayakan juga meliputi kategori kegunaan yang direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta memastikan status pendaftaran kenderaan sebagai kenderaan perdagangan.
“Setakat 1 hingga 3 Jun 2026, sebanyak 8,862 buah kenderaan telah berjaya mendaftar, melibatkan 8,524 pikap diesel dan 329 buah jip diesel dan 9 buah jip petrol,” tambah kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenderaan yang didaftarkan bawah kategori kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kategori Khas Lain serta barangan-tiada permit atau off-road adalah tidak tersenarai.
Pelaksanaan SKDS dan SKPS akan terus ditambah baik bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan secara bersasar dan mengekang ketirisan sama ada dalam bentuk penyelewengan dan penyeludupan.