
PUTRAJAYA, 4 Jun – Agenda Ekonomi Desa Nasional perlu dilihat sebagai ekosistem pembangunan menyeluruh bagi memperkasa masyarakat luar bandar dan menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Manfaat desa: sumber semula jadi, komuniti, usahawan, bakat muda, institusi latihan dan jaringan sosial kukuh.
- Perlu bina ekonomi setempat untuk jamin keselamatan makanan, kurangkan kebergantungan luar dan cipta pendapatan baharu.
- Pembangunan luar bandar ialah agenda strategik; desa maju memperkukuh kestabilan dan asas negara menghadapi cabaran.
Beliau berkata desa mempunyai pelbagai kelebihan termasuk hasil bumi, komuniti, usahawan, bakat muda, institusi latihan dan jaringan sosial yang kukuh.
Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pendekatan itu mampu membantu membina ekonomi setempat.
“Ia adalah usaha membina ekonomi setempat, memperkukuh keterjaminan makanan, mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar dan mencipta pendapatan baharu kepada kumpulan sasar.
“Begitu juga program keusahawanan desa, program seperti Sokongan Pengukuhan Keusahawanan, Program Peningkatan Pendapatan, Gate to Global dan aktiviti ekonomi berasaskan komuniti perlu terus diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Mei Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata pembangunan luar bandar tidak lagi boleh dilihat sebagai agenda kebajikan semata-mata, sebaliknya perlu dianggap sebagai agenda pertahanan nasional yang penting bagi menjamin kestabilan negara.
“Jika desa lemah, negara akan rapuh. Jika desa ketinggalan, negara akan kehilangan keseimbangan. Tetapi jika desa maju, insya-Allah Malaysia akan memiliki asas yang kukuh untuk menghadapi apa jua cabaran di hadapan,” katanya.