Biodiesel B15 sokong penjimatan bahan api negara

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

PUCHONG, 3 Jun Pelaksanaan Biodiesel B12 dan B15 berupaya menyokong usaha negara mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, sekali gus memanfaatkan sumber sawit tempatan sebagai campuran bahan api alternatif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan B12 dan B15 menyokong pengurangan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta memanfaatkan sumber sawit tempatan sebagai bahan api campuran.
  • Penggunaan biodiesel berasaskan sawit menggantikan sebahagian petroleum dengan Palm Methyl Ester, menyokong keselamatan bekalan tenaga negara.
  • Penggunaan biodiesel digalakkan untuk mencapai matlamat ESG serta menyokong agenda kelestarian dan persekitaran hijau negara.
  • Dari segi kos dan prestasi, harga biodiesel ditentukan oleh Kementerian Kewangan; prestasi dan penggunaan bahan api tidak menunjukkan perbezaan ketara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penggunaan biodiesel berasaskan sawit membolehkan sebahagian penggunaan petroleum digantikan dengan Palm Methyl Ester, (PME) (biodiesel berasaskan minyak sawit), sekali gus menyokong keselamatan bekalan tenaga negara.

“Penggunaan biodiesel sememangnya amat digalakkan, khususnya dalam usaha mencapai matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta menyokong agenda kelestarian dan persekitaran hijau negara”, katanya.

“Dari segi penjimatan, ia bergantung kepada penggunaan bahan tambahan (additive) serta faktor-faktor lain yang ditentukan oleh syarikat minyak masing-masing.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Media ke Terminal Pengedaran Biodiesel di Klang Valley Distribution Terminal,(KVDT), Puchong.

Dalam lawatan itu, media diberi penerangan berhubung proses pengumpulan, pengadunan dan pengagihan biodiesel sebelum disalurkan ke stesen minyak untuk kegunaan pengguna.

Mengulas aspek kos kepada pengguna, Datuk Seri Dr Noraini berkata, harga biodiesel adalah sama dan perkara berkaitan harga tertakluk kepada Kementerian Kewangan.

Beliau turut menjelaskan, dari segi prestasi dan penggunaan bahan api kenderaan, pelaksanaan biodiesel tidak memberi perbezaan ketara kerana Malaysia sebelum ini telah melaksanakan penggunaan B7 dan B10.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.