
PUTRAJAYA, 2 Jun – Tindakan pendakwaan setimpal perlu diambil terhadap pemandu menyebabkan kemalangan jalan raya di Simpang Renggam, Johor yang meragut lima nyawa termasuk empat mangsa sekeluarga semalam.
- Loke meminta polis menyegerakan siasatan supaya kertas siasatan cepat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
- Beliau mengutuk pemanduan yang sangat tidak bertanggungjawab dan menegaskan ia tidak boleh diterima.
- Keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama; lesen memandu bukan kebenaran memandu sesuka hati.
- Seorang pemandu maut dalam perjalanan ke hospital; remaja 19 tahun ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook juga menggesa polis menyegerakan siasatan bagi memastikan kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) secepat mungkin.
“Pemanduan sebegini tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Loke berkata keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama-sama semua pengguna jalan raya.
“Lesen memandu bukan kebenaran untuk memandu sesuka hati sehingga menyebabkan malapetaka kepada orang lain yang tidak berdosa,” katanya.
Dalam pada itu, Loke mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan tragedi itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Semalam, polis mengesahkan empat termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Simpang Renggam.
Kemalangan dipercayai berlaku akibat tindakan pemandu dua buah kereta mewah yang memandu secara laju dan melulu, dengan seorang daripada mereka maut semasa dalam perjalanan ke hospital.
Seorang lagi pemandu kereta mewah itu, iaitu remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut. – BERNAMA