Malaysia berhak tuntut pampasan daripada Norway

Malaysia berhak tuntut pampasan daripada Norway. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Susulan pembatalan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) oleh Norway, Malaysia berhak menuntut pampasan sewajarnya daripada negara itu dan syarikat terlibat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negara menanggung kerugian kewangan serta kehilangan masa dan peluang bernilai akibat isu berkenaan.
  • Sejumlah besar wang rakyat telah diperuntukkan; makluman awal boleh membolehkan dana digunakan untuk tujuan lain.
  • Hubungan dua hala Malaysia dan Norway terkesan; perlunya ketelusan, akauntabiliti dan mesej jelas kepada komuniti pertahanan antarabangsa.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan memaklumkan, tuntutan itu wajar kerana Malaysia menanggung kerugian kewangan selain kehilangan masa serta peluang bernilai akibat pembatalan berkenaan.

“Malaysia mempunyai hak untuk menuntut pampasan yang sewajarnya daripada Norway dan syarikat yang terlibat. Sejumlah besar wang rakyat telah pun diperuntukkan bagi program ini.

“Sekiranya Norway memaklumkan lebih awal mengenai pembatalan lesen eksport tersebut, dana berkenaan boleh digunakan untuk tujuan lain,” menurut kenyataan itu.

Beliau mengakui, hubungan dua hala Malaysia–Norway kini terkesan susulan isu berkenaan dan tidak boleh diteruskan seperti biasa tanpa ketelusan serta akauntabiliti daripada pihak Norway.

Datuk Seri Mohamed Khaled mengulas mengenai satu artikel yang dikeluarkan media tempatan yang mencadangkan isu tersebut dilupakan, seterusnya bergerak ke hadapan dengan mencari pengganti.

Beliau bagaimanapun mengakui, proses mendapatkan pengganti kepada sistem NSM bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan penilaian sistem alternatif, rundingan kontrak baharu serta integrasi dengan platform sedia ada yang memerlukan masa dan sumber yang besar.

“Episod ini melangkaui pertikaian kontrak dua hala. Ia telah meletakkan pertahanan dan keselamatan negara dalam kedudukan yang terjejas.

“Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada Norway dan komuniti pertahanan antarabangsa bahawa tindakan seperti ini tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa pertanggungjawaban,” tambah kenyataan sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.