
PUTRAJAYA, 1 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agresif membanteras aktiviti penjualan dan pengiklanan rokok elektronik atau vape secara dalam talian, selaras dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
- Siasat 10 laman sesawang yang dilapor melalui media sosial.
- Empat laporan dikemukakan kepada MCMC untuk tindakan sekatan.
- Pelancaran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) fokus pengilangan, pengedaran dan penjualan produk merokok.
- Penguatkuasaan diperkukuh dengan operasi meluas, banyak kompaun dan kertas siasatan; KKM tidak akan berkompromi dan menggesa orang ramai melapor.
Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan telah menyiasat 10 laman sesawang yang dilapor menerusi media sosial.
Empat daripada laporan berkenaan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan, manakala bakinya masih dalam siasatan.
Menurut KKM, penguatkuasaan Akta 852 terus diperkukuh menerusi pelancaran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang menumpukan kesalahan pengilangan, pengedaran dan penjualan produk merokok termasuk vape.
“Sehingga 30 April, sebanyak 34,903 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 683,704 premis,” menurut kenyataan itu.
Hasil tindakan, sebanyak 233,831 kompaun dikeluarkan sementara 4,226 kertas siasatan telah dibuka bagi tindakan lanjut.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 398 kes masih dalam tindakan pendakwaan manakala 204 kes telah selesai dikenakan hukuman denda dengan nilai melebihi RM 1.18 juta.
“Sehingga April tahun ini, sebanyak 2595 kertas siasatan telah dibuka bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta 852,” tambah kenyataan tersebut.
Tegas KKM, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran Akta 852 selain menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penjualan atau promosi produk merokok yang menyalahi peraturan.