Fonseca cipta kejutan, singkir Djokovic di Paris

Joao Fonseca (kiri) menyingkirkan Novak Djokovic (kanan) pada pusingan ketiga Terbuka Perancis/AFP

PARIS, 30 Mei- Bintang muda Brazil, Joao Fonseca mencipta kejutan di Terbuka Perancis apabila menyingkirkan Novak Djokovic pada pusingan ketiga, sekali gus menggagalkan misi legenda Serbia itu memburu gelaran Grand Slam ke-25.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fonseca, 19, pilihan ke-28, bangkit dari ketinggalan dua set dalam aksi penuh dramatik.
  • Beliau menang 4-6, 4-6, 6-3, 7-5, 7-5 selepas hampir lima jam, mara ke pusingan 16 terakhir Grand Slam buat kali pertama.
  • Zverev dan Ruud terus mara, manakala Rublev, Carreno Busta, Mensik dan Jesper de Jong sah ke pusingan keempat.

Fonseca, 19, yang merupakan pilihan ke-28 kejohanan bangkit daripada ketinggalan dua set dalam aksi penuh dramatik sebelum menewaskan Djokovic (pilihan ketiga) di Roland Garros.

Pemain muda itu menang 4-6, 4-6, 6-3, 7-5, 7-5 selepas pertarungan hampir lima jam untuk mara ke pusingan 16 terakhir Grand Slam buat kali pertama dalam kariernya.

Fonseca akan bertemu Casper Ruud pada pusingan seterusnya selepas pemain Norway itu menyelamatkan dua mata penamat sebelum menewaskan Tommy Paul.

Sementara itu, pilihan kedua dari Jerman, Alexander Zverev turut meneruskan kemaraan selepas menewaskan pemain tuan rumah Perancis, Quentin Halys 6-4, 6-3, 5-7, 6-2.

Pemain Norway, Casper Ruud yang merupakan pilihan ke-15 kejohanan pula mengatasi pilihan ke-24 dari Amerika Syarikat, Tommy Paul, 4-6, 6-7(4/7), 6-4, 7-6(7/4), 7-5 dalam pertarungan lima set.

Pilihan ke-11 dari Rusia, Andrey Rublev, pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta, wakil Republik Czech, Jakub Mensik, serta pemain Belanda, Jesper de Jong, turut mengesahkan tempat ke pusingan keempat.

Dalam saingan wanita, juara empat kali dari Poland, Iga Swiatek, meneruskan cabaran selepas menewaskan rakan senegaranya, Magda Linette 6-4, 6-4.

Pilihan ketujuh dari Ukraine, Elina Svitolina, pilihan kelapan dari Rusia, Mirra Andreeva, pilihan ke-11 dari Switzerland, Belinda Bencic, dan pilihan ke-15 dari Ukraine, Marta Kostyuk, turut mara ke pusingan keempat.

Pemain Switzerland, Jil Teichmann, mencatat kemenangan mengejut ke atas pilihan ke-10 dari Republik Czech, Karolina Muchova 6-1, 7-5, manakala pilihan ke-18 dari Romania, Sorana Cirstea, hanya memerlukan dua set untuk menewaskan Solana Sierra dari Argentina 6-0, 6-0. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.