
MADRID, 28 Mei – Sepanyol sedang mengalami suhu luar biasa tinggi bagi penghujung musim bunga, dengan keadaan cuaca lebih menyerupai kemuncak musim panas.
- AEMET: belum diklasifikasikan sebagai gelombang haba walaupun suhu tinggi meningkat.
- Beberapa kawasan merekodkan sehingga 37 darjah Celsius, dan keadaan malam kekal panas luar biasa.
- Negara-negara Eropah Barat turut alami suhu tinggi, termasuk Portugal, Perancis dan rekod pertama 35 darjah di United Kingdom.
- Permulaan tahun lebih lembap galakkan pertumbuhan tumbuhan, cuaca panas boleh mengeringkan seterusnya meningkatkan risiko kebakaran hutan.
Jurucakap agensi cuaca kebangsaan Sepanyol (AEMET), Ruben del Campo berkata, walaupun keadaan semasa belum diklasifikasikan secara rasmi sebagai gelombang haba, suhu yang direkodkan menyamai paras kebiasaan pada Julai dan Ogos.
Menurut beliau, beberapa kawasan mencatat suhu setinggi 37 darjah Celsius selain keadaan malam yang turut kekal panas luar biasa.
Di Madrid, pelancong dilihat menggunakan payung, berteduh di kawasan bangunan dan menyejukkan badan berhampiran pancutan air bagi mengurangkan kesan cuaca panas.
Ruben del Campo berkata keadaan itu turut melanda beberapa negara Eropah Barat lain termasuk Portugal, Perancis dan United Kingdom yang mengalami suhu lebih tinggi berbanding kebiasaan bagi bulan Mei.
“Ini merupakan tempoh suhu yang sangat tinggi untuk bulan Mei. Secara teknikal, ia belum boleh dianggap sebagai gelombang haba kerana suhu belum mencapai paras tertinggi seperti lazimnya berlaku pada Julai dan Ogos.
“Namun, suhu yang direkodkan sememangnya menyerupai keadaan pada kemuncak musim panas. Malah, beberapa bandar seperti Santander mencatat suhu sehingga 37 darjah Celsius,” katanya.
Portugal turut merekodkan suhu antara 38 hingga 39 darjah Celsius manakala Perancis melebihi 33 darjah Celsius.
Di United Kingdom pula, suhu mencecah 35 darjah Celsius buat pertama kali dalam sejarah rekod cuaca di Kepulauan British.
Dalam pada itu, AEMET menjangkakan Sepanyol bakal berdepan satu lagi musim panas dengan suhu melebihi purata selain kemungkinan berlaku gelombang haba sebenar dalam tempoh Jun hingga Ogos.
Beliau turut memberi amaran bahawa permulaan tahun yang lebih lembap menyebabkan pertumbuhan tumbuhan lebih banyak di kawasan hutan dan keadaan cuaca panas boleh mengeringkannya sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan.
“Jika suhu tinggi berterusan, risiko kebakaran hutan dijangka meningkat ke tahap sangat tinggi atau ekstrem di banyak kawasan negara ini apabila musim panas semakin memuncak,” katanya.- REUTERS