
MELAKA, 28 Mei- Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan menerusi Program Korban Kasih Mualaf Perdana di Kesidang, di sini, yang menghimpunkan komuniti mualaf dan masyarakat pelbagai latar belakang melalui aktiviti gotong-royong.
- MAIM melalui Baitulmal mensasarkan pengukuhan hubungan sosial menerusi penyertaan bersama dalam proses penyembelihan, pemprosesan dan agihan daging korban.
- Program menyediakan ruang mendekati mualaf termasuk masyarakat Islam dari luar negara yang bermastautin di Melaka.
- Program dianjurkan secara kolektif bersama NGO untuk menunjukkan kesatuan dan kepelbagaian, pelbagai kaum berganding bahu dari awal hingga pembungkusan.
- Daging korban diagihkan kepada kira-kira 500 penerima terdiri daripada mualaf dan keluarga asnaf yang memerlukan.
Program anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui Baitulmal itu menyasarkan pengukuhan hubungan sosial antara golongan mualaf dan masyarakat setempat menerusi penglibatan bersama dalam proses penyembelihan, pemprosesan serta agihan daging korban.
Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata program tahunan itu turut membuka ruang kepada pihaknya mendekati mualaf termasuk masyarakat Islam dari luar negara yang bermastautin di Melaka.
“Program ini dianjurkan secara kolektif bersama NGO-NGO bagi menunjukkan kesatuan dan kepelbagaian. Keunikan program ini ialah penglibatan pelbagai kaum yang berganding bahu dari proses awal penyembelihan hingga pembungkusan daging korban,” katanya ketika ditemui pemberita di Kesidang, di sini.
Menurutnya, program itu turut mendapat kerjasama pelbagai persatuan termasuk Persatuan Dayak Muslim, Persatuan Anak-anak Sabah Melaka (PASMA) serta beberapa pertubuhan lain di bawah Gabungan Dakwah Malaysia Cawangan Melaka.
Daging korban berkenaan diagihkan kepada kira-kira 500 penerima terdiri daripada mualaf dan keluarga asnaf yang memerlukan.