Penguatkuasaan Imigresen diperhebat, 17,313 PATI ditahan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban/ Foto BERNAMA

BERANANG, 27 Mei – Seramai 17,313 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan menerusi 5,010 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara setakat 25 Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi penguatkuasaan dipertingkat dan dilaksanakan berterusan berdasarkan risikan, aduan awam dan pendekatan berasaskan data.
  • Pemeriksaan melibatkan 71,734 individu di seluruh negara setakat 25 Mei.
  • Sebanyak 789 majikan dikenakan tindakan kerana menggaji dan melindungi warga asing tanpa permit sah.
  • Lebih tiga juta warga asing memiliki pas dan permit sah, bukan semua berada di negara ini secara haram.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 71,734 individu.

Sebanyak 789 majikan turut dikenakan tindakan kerana dikesan melindungi serta menggaji warga asing tanpa permit sah.

“Kesalahan paling banyak dikesan ialah tinggal lebih masa dan salah guna pas, manakala bagi majikan pula membabitkan kesalahan menggaji dan melindungi warga asing tanpa permit sah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Wira MADANI dan Semarak Aidiladha Jabatan Imigresen Malaysia di Depot Imigresen Sementara Millennium, Kuala Pajam di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak semua warga asing berada di Malaysia secara haram kerana lebih tiga juta daripadanya memiliki pas dan permit sah.

“Masyarakat melihat warga asing berkumpul di lokasi tertentu terutama ketika cuti panjang lalu menganggap mereka pendatang tanpa izin.

Tetapi berdasarkan pemeriksaan kita, ramai dalam kalangan mereka memiliki dokumen sah dan berada di negara ini secara sah,” jelasnya.

Menurut beliau, bagi menangani isu PATI di negara ini, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat dan dilaksanakan secara berterusan berdasarkan risikan dan aduan awam, selain menggunakan pendekatan penguatkuasaan berasaskan data.

JIM juga akan terus memperkukuh usaha mengekang sebarang bentuk penyalahgunaan kemudahan imigresen oleh warga asing yang bekerja tanpa kebenaran atau menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.