
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Malaysia masih mempunyai sumber minyak mentah, namun cabaran untuk memperolehnya kini semakin kompleks susulan perubahan ketara terhadap struktur geologi rizab petroleum negara.
- Lapangan minyak bersaiz besar di perairan cetek semakin berkurangan, pengeluaran beralih ke padanan lebih kecil dan ke laut dalam.
- Penemuan sejak 2010 sukar dibangunkan akibat keterbatasan infrastruktur perairan dalam, meningkatkan kerumitan teknikal dan kos operasi.
- Kos operasi melonjak, kadar sewa pelantar gerudi jauh lebih tinggi bagi operasi laut dalam berbanding cetek.
- Industri mesti tingkatkan penggunaan Teknologi Peningkatan Perolehan Minyak dan teknologi laut dalam, serta kepakaran teknikal.
Menurut Petroliam Nasional Berhad (Petronas), perkembangan itu menyaksikan lapangan minyak besar di perairan cetek yang sebelum ini menjadi tulang belakang pengeluaran petroleum negara semakin berkurangan.
Menerusi infografik yang dikongsikan firma minyak dan gas nasional itu, sekitar 1980-an industri menyaksikan penemuan lapangan minyak berskala besar di kawasan perairan dengan kedalaman kurang 200 meter.
”Namun memasuki 1990-an, penemuan baharu lebih banyak melibatkan lapangan bersaiz sederhana dan kecil.
”Evolusi lapangan minyak semakin berubah pada era 2000-an apabila industri mula beralih kepada pembangunan laut dalam dengan lapangan berskala besar semakin terhad,” menurut infografik Petronas dalam hantaran di media sosial.
Bagi tempoh 2010 hingga kini, penemuan baharu semakin sukar untuk dibangunkan terutamanya di kawasan perairan dalam dengan kekangan infrastruktur sedia ada, sekali gus meningkatkan kerumitan teknikal serta kos operasi.
Di samping itu, kadar sewa purata harian pelantar gerudi juga melonjak ketara dari AS$110,000 sehari bagi perairan cetek kepada sekitar AS$350,000 sehari bagi operasi di perairan dalam.
”Mendapatkannya memerlukan teknologi dan kepakaran yang jauh lebih tinggi, dengan kos yang jauh lebih besar. Inilah hakikat sektor huluan industri petroleum Malaysia hari ini,” tambah kenyataan itu.
Selain faktor kos, pembangunan lapangan laut dalam turut berdepan cabaran tekanan dan suhu tinggi (HPHT) yang memerlukan penggunaan peralatan khusus, selain kandungan bendasing yang lebih tinggi.
Mengulas selanjutnya, keadaan itu memerlukan syarikat minyak dan gas meningkatkan penggunaan Teknologi Peningkatan Perolehan Minyak (IOR) serta teknologi laut dalam.