Dana Pemangkin Generasi MADANI dibuka bermula 1 Jun ini

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama para penerima surat tawaran SST kepada pengajian tinggi di bawah program Reel MADANI@Kampus/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Permohonan Dana Pemangkin Generasi MADANI akan dibuka secara rasmi selama sebulan bermula 1 Jun ini, bagi menyokong penghasilan kandungan kreatif tempatan yang berteraskan aspirasi Malaysia MADANI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana RM5 juta disalurkan melalui FINAS, terbuka kepada syarikat tempatan dan organisasi belia yang layak.
  • Melibatkan lima kategori penerbitan: telefilem, dokumentari, filem pendek, dokumentari pendek dan animasi.
  • Penekanan kepada pengukuhan jati diri, keharmonian, integriti dan perpaduan serta menghormati sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja.
  • FINAS dan TikTok tandatangan LoI untuk kerjasama strategik bagi membina ekosistem sokongan dan mempromosi pencipta kandungan tempatan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata dana berjumlah RM5 juta itu terbuka kepada syarikat tempatan serta organisasi belia yang layak.

Menurut beliau, dana berkenaan melibatkan lima kategori utama penerbitan iaitu telefilem, dokumentari, filem pendek, dokumentari pendek dan animasi.

“Dana ini akan disalurkan melalui FINAS bagi menyokong penghasilan kandungan yang mengangkat aspirasi Malaysia MADANI.

“Penekanan diberikan kepada usaha memperkukuh jati diri, keharmonian, integriti dan perpaduan masyarakat, selaras dengan prinsip menghormati sensitiviti 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja.

“Saya menjemput semua pihak yang layak, atau merasakan diri mereka layak, untuk merebut peluang ini dengan mengemukakan permohonan masing-masing. Teruslah berkarya, berinovasi dan menghasilkan produk seni kreatif yang berkualiti tinggi serta mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penutupan sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pavilion Bukit Jalil, di sini hari ini.

Tambahnya, inisiatif itu diharap menjadi platform kepada penggiat industri kreatif untuk terus berkarya, berinovasi serta menghasilkan produk seni berkualiti tinggi yang memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

Dalam majlis sama, Datuk Fahmi turut menyaksikan penyerahan Surat Hasrat, Letter of Intent (LoI) daripada FINAS kepada TikTok Malaysia bagi kerjasama strategik dalam usaha membina ekosistem sokongan yang lebih kukuh dalam usaha melahirkan generasi pencipta kandungan berkaliber, beretika dan berdaya saing.

“Kerjasama FINAS dan TikTok diyakini dapat membantu lebih ramai belia tempatan menghasilkan, mempromosi dan membawa karya kreatif mereka ke pasaran antarabangsa melalui sokongan industri, teknologi dan capaian global yang lebih luas,” katanya.

Selain itu, Datuk Fahmi turut menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Program Reel MADANI@Kampus kepada 15 institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Program berkenaan merupakan ruang untuk menggalakkan pelajar dalam penerbitan kandungan video pendek atau reel berkualiti, kreatif dan berteraskan nilai-nilai Malaysia MADANI untuk penyertaan di Festival Filem Pendek dan Video (FFPV) anjuran FINAS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.