
BEIJING, 18 Mei – China dan Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa kedua-dua negara telah membentuk hubungan baharu yang bersifat “konstruktif dan strategik” menerusi pertemuan yang diadakan di Zhongnanhai, kompleks kepimpinan berkubu di Beijing pada Jumaat.
- Kedua negara membentuk hubungan baharu yang konstruktif dan strategik serta mencapai pelbagai persefahaman mengenai hasil kerjasama.
- Pertemuan berlangsung di Zhongnanhai, kompleks kepimpinan bersejarah yang menjadi pusat pentadbiran dan kediaman pemimpin tertinggi China.
- Xi perhatikan minat Trump terhadap taman dan pokok berusia ratusan tahun, serta menawarkan benih bunga ros China sebagai tanda persahabatan.
Pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dan Presiden AS Donald Trump dianggap sebagai satu detik bersejarah, dengan kedua-dua pihak mencapai pelbagai persefahaman berkaitan hasil kerjasama.
“Setakat ini, kita telah mewujudkan hubungan baharu antara kedua-dua negara kita, iaitu hubungan yang konstruktif dan strategik. Ini boleh dianggap sebagai lawatan bersejarah, dan kita telah mencapai banyak persefahaman mengenai hasil kerjasama,” kata Xi Jinping.
Zhongnanhai merupakan kompleks kepimpinan di tepi tasik yang bersebelahan dengan Kota Larangan, dan menjadi pusat pentadbiran serta kediaman pemimpin tertinggi China sejak 1949. Nama Zhongnanhai yang bermaksud ‘laut tengah dan selatan’ sering dikaitkan dengan pusat kuasa negara itu.
Menurut Xi Jinping pertemuan itu juga bertujuan membalas layanan yang diberikan Trump di Mar-a-Lago pada 2017.
Kawasan Zhongnanhai juga merupakan sebahagian daripada taman diraja lama yang sarat dengan nilai sejarah, dan beliau sempat berhenti seketika ketika berjalan bersama Trump untuk melihat pokok-pokok berusia ratusan tahun, termasuk satu yang berusia 490 tahun serta beberapa yang melebihi 1,000 tahun.
Beliau turut memaklumkan bahawa Trump menunjukkan minat terhadap bunga di kawasan itu, dan beliau bercadang untuk menghadiahkan benih bunga ros China kepada Trump sebagai tanda persahabatan.- REUTERS