Wanita parah ditikam kenalan, suspek diburu

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan

ALOR SETAR, 18 Mei – Seorang wanita cedera parah akibat ditikam seorang lelaki yang dikenali di dalam kereta milik mangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dipercayai ditikam di bahagian leher semasa duduk di tempat pemandu; dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah dan dilaporkan stabil.
  • Insiden berlaku di tempat letak kenderaan hadapan restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas kira-kira 9.19 malam.
  • Polis mengesan suspek yang melarikan diri, meminta orang ramai tampil, dan menyiasat di bawah Seksyen 326; motif serta senjata masih disiasat.

Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali memaklumkan, dalam kejadian kira-kira pukul 9.19 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai jurutaip di sebuah pejabat kerajaan di Alor Setar menaiki kereta bersama suspek yang berusia 32 tahun.

Bagaimanapun ketika berada di tempat kejadian, dipercayai berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suspek.

Mangsa yang berada di tempat duduk pemandu dipercayai ditikam di bahagian leher oleh suspek yang duduk bersebelahan mangsa dengan menggunakan senjata tajam.

Wanita itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kejadian tersebut disedari orang awam yang melaporkannya kepada polis, namun suspek sempat melarikan diri.

Polis sedang giat mengesan suspek dan meminta lelaki itu menyerah diri bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta tampil di balai polis berhampiran.

Pihak polis masih mengesan senjata atau peralatan yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.

Motif kejadian juga masih dalam siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.