
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Bursa Malaysia dijangka mencatatkan dagangan dengan kecenderungan kenaikan sederhana minggu depan, disokong keadaan ekonomi domestik yang kekal kukuh.
- Pelabur masih berhati-hati terhadap perkembangan geopolitik global, terutamanya hubungan perdagangan antara AS dan China.
- Ketiadaan perjanjian rasmi selepas pertemuan Trump dan Xi mengekalkan pasaran terdedah kepada ketidaktentuan perdagangan.
- Pertumbuhan KDNK suku pertama 2026 sebanyak 5.4% mengukuhkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi negara.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, pelabur bagaimanapun masih berhati-hati terhadap perkembangan geopolitik global, khususnya melibatkan hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Menurut beliau, ketiadaan perjanjian perdagangan rasmi susulan pertemuan Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping menyebabkan pasaran kekal terdedah kepada ketidaktentuan.
Katanya, sebarang kenyataan baharu berkaitan tarif, sekatan teknologi atau dasar perdagangan melibatkan China berpotensi mempengaruhi sentimen pasaran serantau termasuk Malaysia.
Dalam masa sama, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 5.4 peratus bagi suku pertama 2026 mengukuhkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi negara.
Pertumbuhan itu dipacu penggunaan swasta yang kukuh, pasaran pekerjaan yang stabil dan momentum perbelanjaan isi rumah yang berterusan.
Bagaimanapun, risiko luaran termasuk ketegangan geopolitik dan kenaikan harga minyak global masih berpotensi memberi kesan kepada inflasi serta sentimen perdagangan.