
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Masyarakat bumiputera, khususnya golongan muda, perlu lebih cakna dalam mendapatkan maklumat pasaran hartanah bagi memastikan kediaman dipilih bersesuaian dengan kemampuan kewangan masing-masing.
- Ekspo tunjukkan masih ada rumah mampu milik di Lembah Klang bermula RM180,000.
- Ekspo menjadi pusat sehenti menghimpunkan pemaju, institusi kewangan dan agensi untuk memudahkan perbandingan.
- Skim Jaminan Kredit Perumahan SJKP membantu pembeli rumah pertama termasuk mereka tanpa slip gaji.
- Ekspo dua hari menghimpunkan kira-kira 50 pemaju, 9,000 unit, nilai keseluruhan kira-kira RM6 bilion; sasaran jualan RM100 juta.
Penganjur Ekspo Rumah BPEX, Datuk Nor’ Ashikin Taib berkata, masih ramai bakal pembeli beranggapan kediaman di Lembah Klang sukar dimiliki, sedangkan terdapat unit rumah yang ditawarkan pada harga bermula RM180,000.
Menurutnya, maklumat sedemikian boleh diperoleh dengan hadir ke ekspo perumahan.

“Mereka selalu kata, rumah ini mampu tengok sahaja, tetapi tak mampu nak pilih. Namun sebenarnya, kalau rajin mendapatkan maklumat mengenai pasaran semasa, masih ada rumah serendah RM180,000 di Lembah Klang, yang dikira sebagai mampu milik.
“Kita juga ada Skim Jaminan Kredit Perumahan, SJKP, untuk membantu anak muda yang ingin memiliki rumah pertama, termasuk mereka yang tidak mempunyai slip gaji, supaya pinjaman mereka boleh dijamin melalui skim berkenaan.” katanya.

Tambahnya, penganjuran ekspo perumahan juga berperanan sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan pemaju, institusi kewangan dan agensi berkaitan bagi memudahkan bakal pembeli membuat perbandingan sebelum membuat keputusan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Ekspo Rumah BPEX di ibu negara pada Sabtu.
Ekspo dua hari itu menghimpunkan kira-kira 50 pemaju di sekitar Lembah Klang, melibatkan 9,000 unit kediaman bernilai keseluruhan kira-kira RM6 bilion dan penganjur menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM100 juta sepanjang penganjurannya.