
LANGKAWI, 12 Mei – Sebuah pesawat latihan milik syarikat penerbangan tempatan melakukan pendaratan cemas di Stadium LADA, Kuah di sini pagi tadi selepas mengalami masalah enjin ketika menjalani latihan penerbangan.
- Kejadian kira-kira pukul 10.27 pagi melibatkan pesawat Diamond DA40 berdaftar 9M-HMJ milik HM Aerospace.
- CAAM mengesahkan pesawat dikendalikan Kapten Mohamed Hafiz Iskandar bersama seorang kadet.
- Tiada kecederaan dilaporkan; pasukan siasatan Kementerian Pengangkutan menjalankan siasatan lanjut.
Kejadian kira-kira pukul 10.27 pagi itu membabitkan pesawat jenis Diamond DA40 bernombor pendaftaran 9M-HMJ milik syarikat HM Aerospace.
Ketua Polis Daerah Langkawi Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Khairul Azhar Nuruddin dalam kenyataan memaklumkan, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 11.07 pagi daripada penyelia Menara Kawalan Trafik Udara Langkawi.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi mendapati pesawat berkenaan dikendalikan Kapten Mohamed Hafiz Iskandar bersama seorang kadet penerbangan, Shah Izzati Maisarah Irwan Shah.
“Ketika berada di ruang udara sekitar Pekan Kuah kira-kira pukul 10.20 pagi, juruterbang dilaporkan mengesan masalah kuasa pada enjin pesawat dan memaklumkan kepada menara kawalan untuk mencari lokasi selamat melakukan pendaratan kecemasan.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Pasukan siasatan daripada Kementerian Pengangkutan turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian,” menurut ACP Khairul Azhar Nuruddin.