PETRONAS, ENEOS perkukuh kerjasama, jamin bekalan LNG jangka panjang

Foto www.petronas.com

KUALA LUMPUR, 30 April – PETRONAS dan ENEOS Xplora memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang dalam sektor tenaga menerusi pemeteraian perjanjian baharu bagi menyokong keselamatan tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • ENEOS kembali sertai MLNG Tiga dengan pegangan ekuiti 10% untuk 10 tahun, tertakluk kepada syarat akhir.
  • PETRONAS: LNG kekal penting dalam peralihan tenaga, mengimbangi keperluan ekonomi sambil menyokong masa depan rendah karbon.
  • Penyertaan semula ENEOS cetus keyakinan terhadap daya tahan operasi MLNG Tiga dan nilai jangka panjang PETRONAS sebagai pengendali LNG bertaraf dunia.

Di bawah perjanjian tersebut, ENEOS akan kembali menyertai Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd (MLNG Tiga) dengan pegangan ekuiti sebanyak 10 peratus untuk tempoh 10 tahun, tertakluk kepada syarat akhir, selepas perjanjian usaha sama terdahulu tamat pada 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik berkata, kerjasama yang bermula sejak 1995 itu mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan bekalan gas asli cecair (LNG) yang stabil ke pasaran antarabangsa, khususnya Jepun.

“LNG kekal penting dalam peralihan tenaga global, mengimbangi keperluan ekonomi masa kini sambil menyokong peralihan yang berwibawa ke arah masa depan rendah karbon,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

”Kedudukan Asia sebagai pusat pertumbuhan permintaan LNG global, bekalan yang stabil dan kerjasama jangka panjang kekal menjadi asas kepada daya tahan ekonomi di seluruh rantau ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik dalam kenyataan sama.

Penyertaan semula ENEOS Xplora turut membuktikan keyakinan berterusan rakan kongsi terhadap daya tahan operasi serta nilai jangka panjang MLNG Tiga, selain keupayaan terbukti PETRONAS sebagai pengendali LNG bertaraf dunia.

PETRONAS menjelaskan bahawa dalam persekitaran tenaga global yang semakin mencabar, kerjasama erat seperti ini amat penting bagi memastikan kelestarian bekalan tenaga yang bersih kepada pelanggan.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas & Maritim PETRONAS, Adif Zulkifli bersama Wakil Pengarah dan Presiden ENEOS Xplora, Yasuhiko Oshida.