
MELAKA, 25 April – Sebanyak 21 projek berkaitan air bernilai RM3.1 bilion diluluskan untuk Melaka menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13.
- Kerajaan Persekutuan memperuntuk RM274 juta menerusi Rolling Plan Pertama tahun ini.
- Projek merangkumi pembangunan infrastruktur bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
- Kerja menaiktaraf sistem saliran siap sepenuhnya pada 19 Mac di tiga lokasi Bandaraya Melaka.
- Projek diserahkan sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2026 di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek tersebut melibatkan pelbagai pembangunan infrastruktur termasuk usaha mengurangkan risiko banjir kilat.
“Sehingga 6 April 2026, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 21 projek berkaitan air dengan nilai berjumlah RM3.1 bilion di Negeri Melaka.
“Menerusi Rolling Plan Pertama (RP1) tahun ini pula, sejumlah RM274 juta telah diperuntukkan,” katanya.
Terdahulu, projek menaiktaraf sistem saliran bagi menangani banjir kilat telah dilaksanakan di tiga lokasi sekitar Bandaraya Melaka dan siap sepenuhnya pada 19 Mac lalu.
Antara lokasi terlibat ialah Kampung Enam dan Kampung Tujuh, laluan Jalan Tamby Abdullah ke Jalan Parameswara serta jajaran Taman Merak Mas ke Kampung Tebing Tinggi di Bukit Katil.
Projek berkenaan diserahkan sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2026 peringkat kebangsaan di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.