TNB Thunderstar rampas Piala Sumbangsih, hampakan THT di Batu Buruk

Foto FB MHC

KUALA TERENGGANU, 11 April– Aksi pembukaan tirai Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini menyaksikan TNB Thunderstar berjaya merampas Piala Sumbangsih daripada penyandang juara, Terengganu Hockey Team (THT).

RINGKASAN BERITA AI
  • TNB Thunderstar menang tipis 5-4 dalam perlawanan penuh drama.
  • Jang Jong-hyun meledak hatrik, termasuk pukulan sudut penalti dan gol kemenangan di hujung perlawanan.
  • Faizal Saari membuka jaringan awal dengan dua gol pantas untuk meletakkan THT 2-0.
  • THT bangkit untuk menyamakan 4-4 namun gagal memanfaatkan peluang, akhirnya tewas pada saat akhir.

Dalam aksi penuh drama di Stadium Hoki MPKT, Batu Buruk itu, pasukan pelawat melakar kemenangan tipis 5-4 sekali gus mengecewakan impian tuan rumah di hadapan penyokong sendiri.

THT pada mulanya tampak selesa apabila jaguh penyerang, Faizal Saari, meledak gol pembukaan seawal minit ke-3, sebelum beliau sekali lagi menggandakan asakan selang seminit kemudian untuk meletakkan kedudukan 2-0.

Tersentak dengan kelebihan pantas tersebut, TNB Thunderstar bangkit menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong-hyun pada minit ke-16.

Pasukan pelawat terus menekan dan akhirnya berjaya mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan padang Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari pada minit ke-30, yang kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, meskipun THT bertubi-tubi menggempur kubu lawan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook bijak mencuri ruang untuk menambah gol padang bagi membolehkan TNB Thunderstar mendahului 3-2 buat kali pertama.

Tekanan yang memuncak menyaksikan THT melakukan kesilapan yang membawa kepada gol keempat pelawat, sekali lagi menerusi kepakaran Jong-hyun pada minit ke-44.

Enggan menyerah kalah, THT mempamerkan semangat juang tinggi dengan meledak dua gol pantas bagi mengikat kedudukan 4-4 ketika perlawanan berbaki lapan minit.

Bagaimanapun, Jong-hyun muncul wira mutlak TNB Thunderstar apabila melengkapkan hatrik menerusi jaringan di hujung saingan, sekali gus menoktahkan kemenangan 5-4 untuk menjulang trofi pertama musim ini.