
SAUDARA PENGARANG
- Kombinasi panas dan kelembapan menghalang peluh menyejat, menjadikan tubuh sukar menyejukkan dan haba terperangkap.
- Tanda awal termasuk letih, pening dan loya; jika tidak dirawat boleh menjadi strok haba, kekeliruan, roboh dan kegagalan organ.
- Ambil tindakan segera: bawa ke tempat sejuk, longgarkan pakaian, sejukkan dengan air dan gunakan kipas; lindungi kanak kanak dan warga emas.
Dahulu, bila cuaca panas kita hanya mengeluh dan mencari air sejuk. Hari ini, situasinya sudah berubah. Panas yang kita alami sekarang bukan sekadar tidak selesa, malah dalam keadaan tertentu, ia boleh menjadi ancaman kepada nyawa.
Ramai masih menganggap cuaca panas di Malaysia sebagai perkara biasa. Memang benar, kita berada di negara beriklim tropika.
Namun apa yang berlaku kini berbeza iaitu suhu semakin meningkat, tempohnya lebih panjang, dan sebahagiannya dipengaruhi oleh perubahan iklim serta kesan rumah hijau yang semakin ketara.
Masalah sebenar bukan hanya pada suhu, tetapi pada gabungan panas dan kelembapan. Dalam keadaan biasa, badan manusia menyejukkan diri melalui peluh. Peluh akan menyejat dan membawa keluar haba dari badan.
Tetapi dalam cuaca lembap seperti di Malaysia, peluh tidak mudah kering. Akibatnya, badan terus panas walaupun kita berpeluh.
Bayangkan duduk dalam bilik yang panas dan berwap, tanpa pengudaraan. Badan terasa melekit, panas terperangkap, dan sukar bernafas dengan selesa. Itulah keadaan sebenar yang dialami tubuh kita ketika gelombang haba melanda.
Apabila keadaan ini berterusan, suhu dalam badan boleh meningkat tanpa kita sedari. Pada peringkat awal, seseorang mungkin hanya rasa letih, pening atau loya. Ini sering dianggap perkara biasa seperti “mungkin kurang minum air” atau “terlalu penat”.
Tetapi sebenarnya, ini adalah tanda awal badan sedang bergelut dengan haba. Jika tidak ditangani, keadaan boleh menjadi lebih serius.
Dalam kes yang lebih teruk, badan boleh gagal mengawal suhu sendiri sehingga suhu teras meningkat melebihi 40 darjah celsius.
Pada ketika ini, seseorang boleh menjadi keliru, bercakap tidak jelas, atau tiba-tiba rebah. Inilah yang dikenali sebagai strok haba iaitu satu kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera.
Apa yang berlaku sebenarnya mudah difahami: Badan terlalu panas, dan “sistem penyejuk” semula jadi sudah tidak berfungsi.
Dalam keadaan ini, organ penting seperti otak, jantung, hati dan buah pinggang mula terjejas. Ia bukan berlaku secara rawak, tetapi akibat strok haba yang tidak dikesan awal dan tidak dikawal.
Lebih berisiko ialah golongan tertentu seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Bagi golongan ini, perubahan kecil pada suhu badan pun boleh memberi kesan besar dan berbahaya.
Sebab itu kita sering diingatkan supaya tidak meninggalkan kanak-kanak di dalam kereta walaupun sekejap. Suhu dalam kenderaan boleh meningkat dengan sangat cepat, jauh lebih panas daripada suhu di luar.
Begitu juga dengan penggunaan kain pada kereta sorong bayi. Ramai ibu bapa menutup stroller dengan kain untuk lindungi daripada matahari, tetapi jika kain tersebut menutup rapat dan menghalang aliran udara, haba boleh terperangkap di dalam ruang kecil itu, menjadikan keadaan lebih panas daripada luar.
Dalam menghadapi situasi ini, tindakan awal sangat penting. Jika seseorang mula menunjukkan tanda seperti pening, terlalu letih, atau loya, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah bawa mereka ke tempat yang lebih sejuk dan longgarkan pakaian.
Seterusnya, sejukkan badan dengan air sama ada dengan mengelap menggunakan kain basah, menyembur air ke badan, atau mandi jika perlu.
Penggunaan kipas juga boleh membantu jika ada. Langkah ini nampak mudah, tetapi boleh menjadi faktor penting untuk menstabilkan keadaan mangsa sebelum bantuan lanjut diperoleh.
Apa yang lebih penting ialah kita perlu ubah cara berfikir. Cuaca panas hari ini bukan lagi sekadar gangguan kecil dalam rutin harian. Ia adalah isyarat bahawa tubuh manusia ada hadnya.
Apabila haba melepasi had tersebut, kesannya bukan sekadar rasa tidak selesa, tetapi boleh mengancam kesihatan secara serius.
Kita tidak boleh lagi mengambil pendekatan “tahan sahaja” atau menganggap semua ini perkara biasa. Kesedaran, tindakan awal, dan sikap berjaga-jaga adalah kunci untuk melindungi diri dan keluarga.
Ini kerana dalam dunia hari ini, panas bukan lagi sekadar panas, tetapi ia boleh menjadi kecemasan yang datang tanpa amaran dan lebih buruk lagi, boleh meragut nyawa.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
e-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Dr Mohd Nadzrul Shah Mohd Junit
Pensyarah dan Pakar Perubatan Kecemasan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia