
KUALA NERANG, 7 April– Seorang wanita warga emas dan cucu saudaranya maut dalam kemalangan di Jalan Padang Sanai berhampiran Kampung Padang Nyior, pagi tadi.
- Kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta selepas motosikal cuba memotong lalu memasuki laluan bertentangan; berlaku perlanggaran.
- Penunggang motosikal Che Rahmah Abdul Karim, 76, dan cucu saudaranya Auni Afiqah, 3, disahkan maut akibat kecederaan parah.
- Seorang lagi cucu saudara, Abdul Hafiz Hadi, 9, cedera; semua mangsa tidak memakai topi keledar; pemandu kereta tidak cedera.
Seorang lagi cucu saudara mangsa berusia sembilan tahun cedera dalam kejadian itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Affzanisham Mohammad Sham berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi membabitkan sebuah motosikal dan kereta.
Menurut beliau, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Kampung Lubuk Labi menghala ke Ladang Seraya.
Manakala motosikal ditunggang Che Rahmah Abdul Karim, 76 tahun bersama dua cucu saudaranya datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati motosikal itu cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Keadaan itu menyebabkan kereta dari arah hadapan gagal mengelak lalu berlaku perlanggaran,” katanya.
Che Rahmah dan Auni Afiqah Hadi, tiga tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan muka.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Abdul Hafiz Hadi, sembilan tahun pula cedera di muka dan menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang.
Beliau turut memaklumkan, kesemua mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian.
Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.