Bank Rakyat laksana langkah pemulihan susulan penalti BNM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 April – Bank Rakyat mengesahkan telah mengambil langkah pemulihan sewajarnya susulan penalti monetari pentadbiran (AMP) yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap institusi perbankan itu baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melaksanakan penambahbaikan berterusan pada infrastruktur teknologi, kawalan keselamatan siber dan proses operasi untuk perkuat ketahanan sistem serta lindungi maklumat pelanggan.
  • Meningkatkan keupayaan pemantauan, pengesanan ancaman dan pengawasan tadbir urus selaras jangkaan kawal selia serta amalan industri.
  • Menegaskan komitmen mengekalkan persekitaran perbankan yang selamat, boleh dipercayai dan menghargai sokongan pelanggan serta pihak berkepentingan.
  • BNM mengenakan AMP RM1 juta kerana pelanggaran keselamatan siber; Bank Rakyat menjelaskan bayaran pada 26 Januari.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Rakyat memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap infrastruktur teknologi, kawalan keselamatan siber serta proses operasi bagi memperkukuh ketahanan sistem dan melindungi maklumat pelanggan.

”Usaha ini merangkumi peningkatan keupayaan pemantauan, pengesanan ancaman serta
pengawasan tadbir urus, selaras dengan jangkaan kawal selia dan amalan industri.

”Bank Rakyat kekal komited untuk memastikan persekitaran perbankan yang selamat dan boleh dipercayai serta menghargai sokongan dan keyakinan berterusan daripada pelanggan serta pihak
berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

Bank itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan persekitaran perbankan yang selamat dan boleh dipercayai, selain menghargai sokongan serta keyakinan berterusan daripada pelanggan dan pihak berkepentingan.

Terdahulu, BNM mengenakan AMP sebanyak RM1 juta ke atas Bank Rakyat susulan pelanggaran melibatkan aspek keselamatan siber dan perlindungan maklumat pelanggan yang berpunca daripada kawalan keselamatan serta tindak balas insiden yang tidak mencukupi.

Menurut bank pusat itu, Bank Rakyat telah mengambil langkah pemulihan yang diperlukan dan telah menjelaskan bayaran penalti RM1 juta tersebut pada 26 Januari lepas.