Inisiatif ‘Meh Balik Kampus 2026’ manfaatkan 3,000 mahasiswa Johor

Foto FB Aznan Tamin

JOHOR BAHRU, 28 Mac – Kira-kira 3,000 mahasiswa anak Johor menerima manfaat menerusi pelaksanaan inisiatif ‘Meh Balik Kampus 2026’ oleh Kerajaan Negeri Johor bagi memudahkan perjalanan pulang ke kampus selepas cuti perayaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 73 bas ekspres disediakan untuk memastikan perjalanan mahasiswa lebih tersusun, selesa dan selamat.
  • Pelaksanaan secara berperingkat dan menyeluruh mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri terhadap sokongan mahasiswa.
  • Lebih 500 mahasiswa anak Johor yang belajar di Sabah dan Sarawak diraikan bersama keluarga di Lapangan Terbang Senai.
  • Inisiatif melibatkan peruntukan RM1.4 juta; penghargaan kepada Menteri Besar atas sokongan kebajikan mahasiswa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata inisiatif itu dilaksanakan susulan keprihatinan berterusan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam memastikan kebajikan serta pembangunan Orang Muda Johor sentiasa menjadi keutamaan.

Sebanyak 73 bas ekspres disediakan sebagai langkah proaktif bagi memastikan perjalanan mahasiswa lebih tersusun, selesa dan selamat.

“Daripada jumlah itu, lima bas berlepas pada malam Jumaat bagi Zon Utara di TMIYC, Iskandar Puteri, manakala 47 bas lagi dilepaskan pagi tadi bagi Zon Tengah dan Pantai Timur di lokasi sama.

“Selain itu, sebanyak 21 bas turut digerakkan serentak pagi tadi membabitkan beberapa daerah, iaitu Segamat (Muar, Tangkak dan Segamat) serta Batu Pahat (Kluang, Mersing dan Batu Pahat),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan pelaksanaan secara berperingkat dan menyeluruh itu mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam menyediakan sistem sokongan yang lebih tersusun kepada mahasiswa.

Aznan berkata lebih 500 mahasiswa anak Johor yang melanjutkan pengajian di Borneo, khususnya di Sabah dan Sarawak, juga diraikan dalam satu pertemuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bersama keluarga masing-masing.

Menurutnya, suasana penuh bermakna jelas dirasai apabila ibu bapa turut hadir mengiringi anak ke lapangan terbang serta pusat pelepasan bas sebagai tanda sokongan dan kasih sayang.

Inisiatif Meh Balik Kampus 2026 itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.4 juta.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi atas keprihatinan serta sokongan padu terhadap kebajikan mahasiswa negeri ini.

“Komitmen kerajaan negeri membuktikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira lokasi pengajian mereka sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.

“Semoga inisiatif ini terus menjadi pemudah cara kepada mahasiswa dalam meneruskan perjalanan akademik mereka. Besar harapan agar usaha ini menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi Johor yang berilmu, berdaya saing dan Insya-Allah kembali berbakti kepada negeri Johor,” katanya.