Polis jumpa rangka bayi di laman rumah

Gambar hiasan

ALOR GAJAH, 25 Mac – Polis menemukan rangka bayi, dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lepas, yang ditanam di hadapan sebuah rumah di Kelemak, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
  • Polis menahan empat individu termasuk dua wanita untuk membantu siasatan.
  • Pasukan forensik hadir di rumah sekitar 9 pagi semasa sambutan Aidilfitri, mengejutkan penduduk.
  • Penduduk terkejut; rumah teres berhadapan rumah kosong menambah kebimbangan komuniti.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi media mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Beliau berkata polis menahan empat individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan.

Kejadian itu sekali gus menggemparkan penduduk di kawasan perumahan di Kelemak, apabila pasukan forensik dilihat berada di rumah berkenaan kira-kira 9 pagi tadi, ketika umat Islam masih dalam sambutan Aidilfitri.

Seorang lelaki yang datang beraya ke rumah kakaknya berkata pada awalnya dia menyangka hanya kes biasa, namun dimaklumkan jiran bahawa polis menjumpai rangka bayi dipercayai ditanam di situ.

“Kawasan perumahan ini sunyi dan rumah teres itu terletak berhadapan dengan sebuah rumah kosong, jadi kejadian sebegini menambahkan lagi kejutan kepada penduduk,” katanya. – BERNAMA