
MEMBAKUT, 15 Mac – Daerah Membakut di Sabah dijangka memiliki cawangan Bank Rakyat sendiri sebagai langkah memperkukuh ekosistem kewangan tempatan.
- Status Membakut sebagai daerah penuh memudahkan penyaluran inisiatif kerajaan dan meningkatkan kuasa beli komuniti setempat.
- Cadangan pembukaan cawangan Bank Rakyat kini berada pada peringkat akhir perbincangan pengurusan tertinggi bank.
- Pemilihan lokasi serta penilaian akhir sedang dimuktamadkan sebelum keputusan rasmi dibuat.
- Kenyataan itu disampaikan selepas beliau menghadiri Majlis Iftar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Langkah itu selari dengan status Membakut sebagai daerah penuh selain memudahkan penyaluran pelbagai inisiatif kerajaan serta meningkatkan kuasa beli komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata cadangan pembukaan cawangan Bank Rakyat di daerah berkenaan kini berada pada peringkat akhir perbincangan pihak pengurusan tertinggi bank tersebut.
Menurut beliau, beberapa perkara termasuk pemilihan lokasi serta penilaian akhir sedang dimuktamadkan sebelum keputusan rasmi dibuat.
“Alhamdulillah saya dimaklumkan ia kini dalam peringkat pertimbangan akhir untuk dimuktamadkan dari segi lokasi dan beberapa penilaian terakhir.
“Apabila semua proses itu selesai diputuskan, mereka akan membuka cawangan Bank Rakyat di daerah Membakut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini.