
LABUAN, 14 Mac – Sebanyak 1,295 daripada 1,898 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega telah dilaksanakan di seluruh negara sehingga semalam, dengan barangan keperluan termasuk keutamaan untuk persiapan Aidilfitri.
- Tawaran diskaun diberikan kepada kira-kira 50 SKU sepanjang program.
- Inisiatif kerajaan bertujuan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.
- KPDN akan menambah baik barangan dan SKU supaya lebih sesuai dengan keperluan setempat.
- Program dua hari mendapat sambutan memberangsangkan; penduduk Labuan mengambil peluang membeli barangan keperluan berdiskaun.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan, Syarikat dan Jualan Langsung KPDN, Datuk Rohaizi Bahari, berkata lebih kurang 50 SKU diberikan tawaran diskaun sepanjang program ini berlangsung.
“Ini adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup. Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas yang diterima, kita akan sentiasa menambah baik dari segi barangan dan SKU supaya lebih sesuai dengan keperluan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra PJRM Mega di Dewan Arena Bukit Kuda, di sini.
Program jualan selama dua hari sehingga Ahad itu dijangka mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setempat.
Semasa tinjauan, Datuk Rohaizi turut teruja melihat warga Labuan mengambil peluang membeli barangan keperluan dengan harga diskaun melalui program ini.