
KUALA LUMPUR, 13 Mac -Inisiatif kebudayaan bandar, KL Festival (KL Fest) yang akan berlangsung dari 6 hingga 31 Mei ini dijangka merangsang aktiviti ekonomi negara dengan sasaran menarik lebih 100,000 pengunjung.
- Dirangka sebagai intervensi ekonomi dengan peruntukan RM3 juta, festival jana peluang perniagaan dan peningkatan perbelanjaan untuk PKS.
- Selari Tahun Melawat Malaysia 2026, Warisan KL dan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Bandar Kreatif Reka Bentuk UNESCO.
- Lebih 80 acara di 26 bangunan warisan dan ruang awam, termasuk persembahan, filem, pemasangan seni dan program seperti Jogeton Dataran Merdeka.
Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, penganjuran festival itu berpotensi mewujudkan peluang ekonomi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui peningkatan perbelanjaan dalam sektor makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan serta perniagaan tempatan.
Inisiatif itu selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Warisan KL dan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Bandar Kreatif Reka Bentuk UNESCO.
“Tarikan utama festival ini ialah kepelbagaian acara yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat. Ia bukan festival yang tertumpu kepada satu tema sahaja, sebaliknya merangkumi elemen seni, drama, persembahan dan filem,” katanya dalam sidang media pengumuman KL Festival 2026 di sini.
Tambah beliau, festival berkenaan turut dirangka sebagai intervensi ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.
Menurutnya, lebih 80 acara akan berlangsung di lebih 26 bangunan warisan, ruang awam serta jalan di pusat bandar dengan keseluruhan atur cara melebihi 700 jam.
Antara program utama yang bakal berlangsung termasuk Jogeton di Dataran Merdeka, Artskap ASWARA, Senandung Warisan di Auditorium Bandaraya serta pelbagai pemasangan seni awam di sekitar pusat bandar sempena KL Architecture Festival Competition.
Turut diketengahkan ialah program seperti Warung Terang oleh Filamen yang menggunakan teknologi projection mapping, Planet KL di Sungai Nadi Kehidupan serta pameran kreatif The Making of Merdeka Textile Museum: A Creative Journey.
Program itu dianjurkan Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta disokong oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Wilayah Persekutuan (Jabatan Perdana Menteri).