
NEW DELHI, 11 Mac – Air India menaikkan surcaj bahan api bagi laluan domestik dan antarabangsa sehingga US$50 susulan lonjakan harga minyak akibat konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
- Air India mengenakan surcaj tiket bermula 18 Mac untuk beberapa laluan antarabangsa dan domestik.
- Kadar surcaj berbeza mengikut destinasi: lebih tinggi untuk Eropah, Amerika Utara, Australia; lebih rendah ke Asia Barat, Asia Selatan, Afrika.
- Syarikat memperkenalkan surcaj 399 rupee bagi penerbangan domestik dan ke Asia Selatan bermula Khamis.
- Air India menyatakan kenaikan disebabkan lonjakan harga ATF, gangguan bekalan serta duti eksais dan VAT tinggi di bandar utama.
Harga tiket bagi laluan ke Eropah, Amerika Utara dan Australia akan meningkat antara US$25 hingga US$50 mulai 18 Mac ini manakala surcaj antara US$10 hingga US$30 akan dikenakan bagi tempahan ke Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika bermula Khamis, menurut kenyataan syarikat penerbangan itu pada Selasa.
Syarikat penerbangan itu juga akan memperkenalkan surcaj sebanyak 399 rupee (US$4.3) bagi penerbangan domestik dan Asia Selatan bermula Khamis.
Air India berkata, keputusan itu terpaksa dilakukan berikutan kenaikan mendadak harga bahan api jet yang berpunca daripada situasi geopolitik di rantau Teluk.
“Sejak awal Mac 2026, bahan api turbin penerbangan (ATF), yang menyumbang hampir 40 peratus daripada kos operasi syarikat penerbangan, mencatatkan peningkatan harga yang ketara berikutan gangguan bekalan.
“Di India, tekanan ini diperhebat oleh Duti Eksais dan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang tinggi ke atas ATF di bandar metropolitan utama seperti Delhi dan Mumbai, sekali gus memperbesar kesan serta memberi tekanan besar kepada ekonomi operasi syarikat penerbangan,” katanya.
Konflik Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran telah mencetuskan kekacauan perjalanan serta menjadikan syarikat penerbangan lebih terdedah kepada lonjakan kos bahan api susulan gangguan bekalan minyak mentah.
Harga minyak penanda aras bagaimanapun susut semula selepas meningkat menghampiri US$120 setong pada Isnin.
Iran mengancam untuk menyerang mana-mana kapal tangki yang dikaitkan dengan musuhnya yang melalui Selat Hormuz, laluan laut penting bagi perdagangan tenaga di sempadan selatan Iran.
Syarikat penerbangan juga mengalami gangguan jadual penerbangan akibat konflik itu, di tengah-tengah serangan balas Iran terhadap aset ketenteraan Amerika Syarikat di rantau Teluk yang menempatkan hab perjalanan utama seperti Dubai, Doha dan Abu Dhabi.-BERNAMA