Sultan Selangor terima zakat perniagaan RM8.4 juta

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima penyerahan zakat peniagaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abbas (dua, kiri) pada Majlis Berbuka Puasa Ihya Ramadan bersama rakyat dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong / BERNAMA

SHAH ALAM, 11 Mac – Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM8.4 juta daripada lima anak syarikat Kerajaan Negeri serta badan korporat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyerahan zakat dibuat sempena Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.
  • Penyumbang utama: PKNS RM2.66 juta; Sime Darby Property RM2 juta; Jakel RM1.52 juta; Permodalan Negeri RM1.3 juta; Pertanian Selangor RM1 juta.
  • Baginda menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM500 kepada 510 penerima asnaf, jumlah kira-kira RM255,000, diagihkan kepada penerima dari Daerah Petaling.

Penyerahan zakat itu berlangsung sempena Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya bagi Daerah Petaling di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada Selasa.

Baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Norashikin tiba di masjid berkenaan kira-kira 6.15 petang bagi menerima penyerahan zakat daripada lima syarikat terlibat.

Antara penyumbang ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor yang menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM2.66 juta.

Ia diikuti Sime Darby Property Berhad sebanyak RM2 juta, Jakel Trading Sdn Bhd sebanyak RM1.52 juta, Permodalan Negeri Selangor Berhad sebanyak RM1.3 juta, serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor sebanyak RM1 juta.

Dalam majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada setiap 510 penerima asnaf melibatkan golongan fakir, miskin dan mualaf.

Keseluruhan sumbangan itu berjumlah kira-kira RM255,000 dan diagihkan kepada penerima dari Daerah Petaling.

Baginda kemudian menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama rakyat yang hadir memeriahkan majlis berbuka puasa berkenaan.

Turut hadir, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad.