Bayaran STR Fasa 2 diawalkan 10 Mac, BKK penjawat awam dibayar 13 Mac

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 Mac– Kerajaan bersetuju mengawalkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 dan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bayaran STR Fasa 2 dikreditkan bermula 10 Mac 2026, peruntukan kira-kira RM1.3 bilion memberi manfaat kepada kira-kira 5 juta penerima.
  • Bantuan Khas Kewangan 2026: RM500 untuk penjawat awam Gred 56 ke bawah, dibayar 13 Mac; pesara dan veteran menerima RM250.
  • Program subsidi tiket RM400 diperluas kepada pelajar IPT termasuk institusi negeri dan latihan, dijangka manfaatkan kira-kira 50,000 pelajar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa bayaran STR Fasa 2 akan mula dikreditkan ke akaun penerima bermula 10 Mac 2026.

Inisiatif itu melibatkan peruntukan kira-kira RM1.3 bilion yang bakal memberi manfaat kepada lima juta penerima di seluruh negara.

“Kita awalkan bayarannya. Sepatutnya STR Fasa 2 dibayar pada April, tetapi kita awalkan kerana mahu rakyat menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan lebih selesa. Jadi, mulai 10 Mac ini, saudara-saudari akan menerima bayaran STR Fasa 2 dalam akaun masing-masing,” katanya ketika Majlis Perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan penyaluran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, yang akan dibayar pada 13 Mac ini.

Bagi menghargai jasa pesara kerajaan serta veteran berpencen dan tidak berpencen, golongan berkenaan juga akan menerima bantuan sebanyak RM250 pada tarikh yang sama.

“Bayaran BKK 2026 ini telah saya umumkan dalam Belanjawan untuk penjawat awam. Sebanyak RM500 akan disalurkan pada 13 Mac bagi Gred 56 ke bawah, manakala pesara kerajaan dan veteran berpencen serta tidak berpencen akan menerima RM250,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut mengumumkan peluasan program subsidi tiket penerbangan bernilai RM400 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Program tersebut kini diperluas merangkumi institusi milik kerajaan negeri serta institusi latihan dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelajar tahun ini, berbanding 44,000 pelajar sebelum ini.

Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa langkah-langkah tersebut merupakan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat secara keseluruhan.