
BANGKOK, 6 Mac – Kerajaan Thailand mengarahkan penggantungan segera eksport bahan api bagi mengelakkan risiko kekurangan bekalan susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat sehingga menjejaskan laluan tenaga global.
- Penggantungan eksport meliputi produk petroleum bertapis: petrol, gasohol, diesel laju, bahan api penerbangan Jet A-1 dan LPG.
- Pedagang minyak dikehendaki mengekalkan simpanan produk petroleum bertapis pada 1.5% mulai 31 Mac 2026 dan 3% mulai 30 April 2026.
- Kerajaan menubuhkan Pusat Pentadbiran dan Pemantauan Situasi Pertempuran di Timur Tengah (CABM) untuk menyelaras tindakan dan memberi maklumat tepat.
Perintah Perdana Menteri diterbitkan dalam Warta Diraja mewajibkan pedagang minyak yang dikawal selia di bawah undang-undang perdagangan bahan api supaya menggantung sementara eksport beberapa jenis bahan api sehingga dimaklumkan kelak.
Menurut Warta Diraja bertarikh 6 Mac, peningkatan ketegangan di Asia Barat berpotensi menjejaskan bekalan bahan api Thailand, selain sukar untuk meramalkan bila konflik di rantau itu akan berakhir.
“Penggantungan eksport itu meliputi produk petroleum bertapis termasuk petrol, gasohol, diesel kelajuan tinggi dan bahan api penerbangan Jet A-1, serta gas petroleum cecair (LPG),” menurut kenyataan itu.
Bagi mencegah serta menangani kemungkinan kekurangan bekalan bahan api, Perdana Menteri mengeluarkan perintah itu di bawah Seksyen 3 Dekri Darurat mengenai Pembetulan dan Pencegahan Kekurangan Bahan Api 1973.
Perintah itu juga menghendaki pedagang minyak di bawah Seksyen 7 Akta Perdagangan Bahan Api 2000 supaya mengekalkan simpanan produk petroleum bertapis yang dihasilkan dalam negara pada kadar 1.5 peratus mulai 31 Mac 2026 dan tiga peratus mulai 30 April 2026.
Perintah itu berkuat kuasa dari tarikh penerbitannya dalam Warta Diraja.
Sementara itu, kerajaan Thailand turut menubuhkan Pusat Pentadbiran dan Pemantauan Situasi Pertempuran di Timur Tengah (CABM) sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan risiko kesan konflik yang sedang berlaku di rantau itu.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri sementara Anutin Charnvirakul akan bertindak sebagai penasihat kepada pusat berkenaan. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan pula dilantik sebagai pengarah, manakala Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berperanan sebagai timbalan pengarah.
Peranan pusat itu termasuk memastikan pelaksanaan langkah secara berkesan bagi menangani kesan konflik di Asia Barat, menyelia, mengurus dan memantau perkembangan berkaitan konflik serta mencadangkan garis panduan dan langkah bagi mengurangkan kesannya.
CABM juga diberi kuasa mengarahkan agensi kerajaan dan perusahaan milik negara supaya menyelaras serta melaksanakan operasi dalam skop tugas undang-undang masing-masing, selain menyebarkan maklumat yang tepat dan berfakta kepada orang ramai.