Program Cahaya Ramadan 2026 santuni anak yatim dan asnaf

Program Cahaya Ramadan 2026

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Semangat berkongsi rezeki dan mengeratkan silaturahim terus dizahirkan menerusi penganjuran Program Cahaya Ramadan 2026, Iftar Kasih Bersama Anak Yatim dan Asnaf yang berlangsung di Zebra Square, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Cahaya Ramadan 2026 anjuran RMC dan PASAK fokus santunan anak yatim dan asnaf semasa iftar.
  • Acara melibatkan kerjasama pelbagai kelab motosikal serta sokongan ramai ahli komuniti permotoran.
  • Misi program memperkukuh ukhuwah, berkongsi rezeki, dan tunjuk peranan aktif komuniti motosikal dalam kebajikan.

Program kebajikan itu dianjurkan oleh Kelab Motosikal Reappear (RMC) dengan kerjasama Pertubuhan Amal Santuni Kasih (PASAK), sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunan komuniti permotoran tersebut dalam meraikan golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

Selebriti dan pelawak terkenal, Man Raja Lawak, yang hadir memeriahkan majlis berkenaan berkata, setiap tahun kelab tersebut akan memilih kumpulan penerima yang berbeza untuk disantuni, termasuk anak yatim, golongan kurang upaya dan asnaf sebagai tanda keprihatinan komuniti permotoran terhadap masyarakat.

“Alhamdulillah, RMC memang setiap tahun meraikan anak-anak yatim atau golongan kurang upaya. Tahun ini giliran anak-anak yatim yang lain pula kita santuni. Kita memberi mereka cenderamata dan duit raya sambil berkongsi kegembiraan,” katanya mengacarakan majlis tersebut.

Program tersebut turut mendapat sokongan ramai ahli serta kelab permotoran lain yang bergabung tenaga bagi menjayakannya.

Kerjasama erat antara RMC, PASAK serta komuniti peminat motosikal menjadikan majlis iftar itu bukan sekadar acara berbuka puasa, malah platform untuk memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan.

Sekali gus, membuktikan komuniti permotoran bukan sekadar berkongsi minat terhadap jentera berkuasa tinggi, tetapi turut aktif melaksanakan aktiviti kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setiap tahun.