
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Lembaga Kelayakan Profesyen Undang-Undang (LPQB) dikenakan fi pengauditan berjumlah RM86,788.50 bagi penyata kewangan untuk tempoh lima tahun bermula 2008 hingga 2012.
- LPQB dikenakan fi pengauditan sebanyak RM86,788.50 bagi penyata kewangan 2008–2012.
- Jumlah fi ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara dan dipecahkan mengikut tahun.
- Penyata kewangan 2013 ke atas sedang disediakan dan akan dikemukakan secara berperingkat.
- Pindaan Akta Profesyen Undang-Undang 2024 mewajibkan audit tahunan untuk memperkukuh akauntabiliti kewangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, berkata fi tersebut ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara yang kini sedang melaksanakan proses pengauditan bagi tahun-tahun kewangan berkenaan.
“Fi pengauditan bagi penyata kewangan Lembaga Kelayakan bagi tempoh lima tahun kewangan iaitu dari tahun 2008 hingga 2012 yang ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara adalah sebanyak RM86,788.50 dengan pecahan mengikut tahun seperti dilampirkan dan akan diberikan kepada senator kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong di Dewan Negara hari ini berhubung kos yang telah dan bakal ditanggung LPQB bagi tujuan pengauditan akaun lembaga itu untuk tempoh 18 tahun lalu.
Menurut beliau, penyata kewangan bagi tahun 2013 dan seterusnya sedang disediakan oleh LPQB dan akan dikemukakan secara berperingkat kepada Jabatan Audit Negara, manakala fi audit bagi tempoh tersebut akan ditentukan selepas dokumen diterima.
Langkah itu selaras dengan pindaan Rang Undang-Undang Profesyen Undang-Undang 2024 yang mewajibkan audit tahunan sebagai mekanisme bagi memperkukuh akauntabiliti kewangan lembaga berkenaan.