Real Madrid tersungkur di laman sendiri

Martin Satriano meraikan jaringan tunggal bersama pasukan/ Foto AFP

MADRID, 3 Mac – Real Madrid tewas 0-1 kepada Getafe CF dalam aksi La Liga di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi tadi, sekali gus ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

RINGKASAN BERITA AI
  • Real Madrid tewas 0-1 kepada Getafe di Santiago Bernabeu, menjadikan mereka ketinggalan empat mata di belakang Barcelona.
  • Martin Satriano menjaringkan gol tunggal melalui rembatan voli dari luar kotak penalti pada babak pertama.
  • Franco Mastantuono dilayangkan kad merah pada masa kecederaan selepas didakwa membantah pengadil; pemain Getafe turut diusir dua minit kemudian.
  • Kekalahan itu adalah kekalahan liga kedua berturut-turut di bawah Alvaro Arbeloa; Getafe meraikan kemenangan pertama di Bernabeu sejak 2008.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang Uruguay, Martin Satriano, menerusi rembatan voli dari luar kotak penalti pada babak pertama.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Alvaro Arbeloa mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam liga buat kali pertama sejak 2020.

Keadaan bertambah buruk apabila penyerang muda Real, Franco Mastantuono dilayangkan kad merah pada masa kecederaan selepas didakwa membantah keputusan pengadil.

Turut dikeluarkan dari padang, pemain pasukan pelawat, Adrian Liso 2 minit kemudian.

Barca sebelum itu melebarkan jurang kelebihan selepas membelasah Villarreal hujung minggu lalu, manakala Madrid turut tewas kepada CA Osasuna dalam aksi terdahulu.

Tanpa bintang Perancis, Kylian Mbappe yang masih menjalani rawatan kecederaan lutut, Madrid menurunkan Gonzalo Garcia bersama Vinicius Junior di jentera serangan.

Vinicius memiliki peluang terbaik pada awal permainan namun percubaannya diselamatkan penjaga gol Getafe, David Soria, yang turut beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Gol kemenangan Getafe hadir selepas Mauro Arambarri menanduk bola ke laluan Satriano sebelum penyerang itu melepaskan rembatan padu menewaskan tuan rumah.

Arbeloa mengakui pasukannya memiliki peluang lebih baik namun gagal memanfaatkannya.

“Dalam bola sepak, layak menang sahaja tidak mencukupi. Getafe bermain dengan baik.

“Tiada siapa berputus asa. Ini Real Madrid dan kami akan terus berjuang hingga perlawanan terakhir,” tegas Arbeloa.

Sementara itu, kemenangan menyaksikan Getafe yang dibimbing Jose Bordalas naik ke tangga ke-11 liga dan meraikan kemenangan pertama di Bernabeu sejak 2008.

Madrid akan bertandang ke Celta Vigo Jumaat ini sebelum menerima kunjungan Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara, dengan status kecergasan Mbappe masih menjadi tanda tanya. – AFP