Mula langkah kiri, Speedy Tigress tewas 0-5 kepada Ireland

Foto FB International Hockey Federation (FIH)


KUALA LUMPUR, 3 Mac
– Pasukan hoki wanita negara memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan kekalahan 0-5 kepada Ireland dalam aksi Kumpulan B, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ireland menang 5-0 ke atas Speedy Tigress dalam aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2026.
  • Jaringan Ireland: Kathryn Mullan, Caoimhe Perdue, Sarah McAuley, Michelle Carey, Roisin Upton.
  • Jurulatih Mohd Nasihin Nubli kritik kesilapan sendiri dan kurang disiplin teknikal serta taktikal.
  • Young Tigress akan hadapi Kanada esok dan Jepun pada 6 Mac; dua terbaik kumpulan mara separuh akhir.

Pada perlawanan di Santiago, Chile, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada suku pertama sebelum Ireland membuka jaringan menerusi gol padang Kathryn Mullan pada minit ke-21.

Caoimhe Perdue kemudian menggandakan kedudukan tiga minit selepas itu hasil pukulan sudut penalti untuk menutup separuh masa pertama dengan kelebihan 2-0.

Memasuki babak kedua, Ireland terus menguasai permainan apabila menambah dua lagi gol pada suku ketiga menerusi jaringan padang Sarah McAuley pada minit ke-34 dan Michelle Carey pada minit ke-37.

Roisin Upton melengkapkan kemenangan bergaya Ireland dengan gol padang pada minit ke-40 untuk memastikan keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ketua jurulatih pasukan wanita negara, Mohd Nasihin Nubli, berkata pasukan bermula baik namun kesilapan sendiri dan kurang disiplin dari segi teknikal serta taktikal mengundang padah, terutama menerusi serangan balas lawan.

Skuad Young Tigress dijadual menentang Kanada esok (4 Mac) dan sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan bertemu Jepun pada 6 Mac.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.