JPJ Langkawi edar 2,000 bubur lambuk santuni pelanggan sempena Ramadan

FOTO RTM

LANGKAWI, 2 Mac – Dalam kesibukan menjalankan tugas hakiki, kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Langkawi tidak melepaskan peluang menyantuni pelanggan yang berurusan di kaunter dengan mengagihkan bubur lambuk sempena Ramadan, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 2,000 bekas bubur lambuk disediakan sendiri warga JPJ dengan kerjasama rakan strategik sempena Ramadan.
  • Program sudah dilaksanakan lebih 11 tahun sebagai usaha berkongsi rezeki dan menyantuni pelanggan.
  • Lebih 80 sukarelawan bergotong-royong menyediakan bubur lambuk, mengeratkan silaturahim dan semangat berpasukan.
  • Inisiatif dilihat sebagai usaha ubah persepsi masyarakat dan tanggungjawab sosial jabatan akan diteruskan.

Lebih 2,000 bekas bubur lambuk disediakan sendiri warga kerja JPJ dengan kerjasama rakan strategik.

Ketua Cawangan JPJ Langkawi, Iskandar Zulkarnain Mohd Ali berkata, program yang telah dilaksanakan lebih 11 tahun itu merupakan usaha berterusan pihaknya untuk berkongsi rezeki sempena bulan Ramadan.

“Salah satu tujuan program ini adalah untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap JPJ. Sebelum ini, JPJ sering dikaitkan dengan saman semata-mata, sedangkan kita juga melaksanakan pelbagai program kebajikan dan inisiatif yang baik untuk masyarakat,” katanya.

Sebelum pengagihan dibuat, lebih 80 sukarelawan bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat berpasukan.

Sukarelawan terlibat terdiri daripada warga kerja JPJ Langkawi, GiatMARA Langkawi serta wakil syarikat swasta.

Tambah beliau, inisiatif seumpama itu akan diteruskan pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial jabatan kepada kakitangan dan orang awam.