
KANGAR, 28 Februari – Program Singgah Sahur yang dilaksanakan Majlis Mahasiswa Anak Perlis (MARLIS) menyantuni petugas barisan hadapan dengan mengedarkan lebih 300 pek makanan di 10 lokasi di Perlis.
- MARLIS jalankan Program Singgah Sahur edarkan lebih 300 pek makanan kepada petugas barisan hadapan di 10 lokasi Perlis.
- Program bermula 11.30 malam dan tamat kira-kira 4.30 pagi, melawat balai bomba, polis, imigresen dan pos PGA.
- Inisiatif bertujuan hargai peranan petugas, beri sokongan moral serta jamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
- Program juga latih generasi muda cakna masyarakat dengan penyertaan 30 peserta dan kolaborasi pelbagai badan belia.
Program dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Perlis dan Persatuan Amal Bakti Perlis itu bermula di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini pada pukul 11.30 malam tadi dan berakhir kira-kira 4.30 pagi.
Destinasi yang disinggahi termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar, Pusat Kawalan Imigresen Kuala Perlis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Perlis dan BBP Kuala Perlis.
Menurut Penyelaras program yang juga Pengerusi MARLIS, Rifqie Aiman Mohd Salehuddin, inisiatif tersebut bertujuan menghargai peranan pasukan barisan hadapan yang bertugas tanpa mengira waktu bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan seluruh masyarakat khususnya di Perlis.
“Program ini kita adakan sedikit sebanyak memberi sokongan moral kepada para petugas keselamatan dan petugas barisan hadapan yang sentiasa komited dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negeri dan negara demi kesejahteraan rakyat semua.
“Selain itu, program ini juga bukan sahaja kita laksanakan semata-mata untuk memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan, tetapi turut kita laksanakan inisiatif ini untuk melatih generasi muda agar lebih cakna dengan masyarakat,” katanya selepas mengetuai 30 peserta Konvoi Singgah Sahur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini.
Majlis tersebut disempurnakan Yang Dipertua Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri, Marzita Mansor.
Turut serta dalam konvoi berkenaan rakan kolaborasi sukarelawan belia dan mahasiswa dari Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perlis, Yayasan Pelajaran MARA Negeri Perlis dan Angkatan Mahasiswa Perlis Universiti Sains Malaysia (USM).