
PUTRAJAYA 26 Februari – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperketat strategi operasi dengan merahsiakan pergerakan penguat kuasa, termasuk dalam kalangan pegawainya sendiri, susulan gangguan kumpulan tonto yang menjejaskan keberkesanan penangkapan warga asing melanggar Akta Imigresen.
- Jabatan Imigresen memperketatkan strategi operasi dengan merahsiakan pergerakan penguat kuasa untuk elak dikesan tonto.
- Operasi disusun rapi untuk mengelakkan kebocoran maklumat yang menyebabkan sasaran melarikan diri.
- Jika identiti tonto dikenal pasti, laporan akan dibuat kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
- JIM tidak berkompromi terhadap khabar angin penglibatan orang dalam dan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, taktik berkenaan diambil bagi mengelak operasi dikesan lebih awal oleh kumpulan tonto yang dipercayai sentiasa memantau dan menyalurkan maklumat kepada pihak tertentu.
“Selain daripada mereka memantau kita, kita juga memantau pergerakan mereka. Setiap operasi kita akan susun strategi bagi mengelak dikesan oleh tonto,” katanya selepas Program Semarak Ramadan.
Beliau tidak menafikan kehadiran tonto menjadi antara faktor operasi gagal mencapai sasaran apabila maklumat pergerakan anggota bocor sebelum serbuan dilaksanakan.
“Kadang-kadang bila mereka dapat tahu lebih awal, apabila kita sampai mereka sudah menghilangkan diri. Itu yang menyebabkan tangkapan tidak berhasil pada hari berkenaan.”
Menurut beliau, sekiranya identiti tonto berjaya dikenal pasti, laporan akan dibuat kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut, namun mengesan kumpulan itu bukan sesuatu yang mudah kerana mereka berselindung dengan pelbagai cara.
Mengulas kemungkinan wujud penglibatan ‘orang dalam’ yang membocorkan maklumat, beliau menegaskan pihaknya tidak berkompromi dan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa.